15 sekeluarga rugi RM120,000 ditipu agensi umrah - Utusan Malaysia

15 sekeluarga rugi RM120,000 ditipu agensi umrah

AHMAD Kashfi Ab. Rahman (dua, kanan) menunjukkan salinan laporan polis selepas mendakwa ditipu sebuah agensi umrah di IPD, Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 15 sekeluarga mengalami kerugian hampir RM120,000 setelah dipercayai ditipu sebuah agensi umrah yang beribu pejabat di Alor Setar, Kedah.

Salah seorang mangsa, Ahmad Kashfi Ab. Rahman, 57, mendakwa, syarikat itu gagal dihubungi selepas dua kali menunda tarikh penerbangan mereka ke Tanah Suci.

Menurut Ahmad Kashfi yang juga seorang penjawat awam, keluarga itu dijadualkan berangkat mengerjakan umrah pada 28 Februari lalu dengan pakej RM7,920 setiap orang. 

“Agensi terbabit memberi tarikh baharu pada 3 Mac namun tidak lama kemudian mereka memaklumkan penerbangan pada tarikh itu juga ditunda dan tiada perkembangan lanjut.

“Selepas usaha menghubungi syarikat itu gagal serta tiada maklum balas kepada surat tuntutan sehingga ke hari ini, kami berasa tertipu dengan tawaran dan janji manis agensi berkenaan.

“Saya tertarik kerana mereka berjanji menguruskan rawatan dialisis abang sepanjang di Tanah Suci selain memberi perhatian kepada ibu yang sudah tua,” katanya.

Ahmad Kashfi berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini, hari ini. 

Katanya lagi, dia membuat laporan polis bagi menuntut hak keluarga itu selain sebagai pengajaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati memilih agensi menguruskan ibadah umrah.

“Sebelum ini kes penipuan sering menimpa orang lain malangnya keluarga saya yang menjadi mangsa kali ini. Ada di antara ahli keluarga yang pertama kali mahu mengerjakan umrah.

“Kami telah membayar RM118,800 tidak termasuk kos vaksin dan caj tambahan lain namun panggilan demi panggilan kami tidak terjawab selepas tarikh penerbangan ditunda,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis daripada mangsa.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya