Yakin miskin tegar dinoktah tahun ini

Yakin miskin tegar dinoktah tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan yakin 130,000 ketua isi rumah miskin tegar dapat ditangani dan dinoktahkan pada tahun ini menerusi beberapa langkah drastik termasuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat 15 Mac lalu, sebanyak 123,243 ketua isi rumah miskin tegar sudah dikenal pasti kerajaan untuk dibantu dengan beberapa langkah.

“Bagaimanapun, saya sengaja letakkan jumlah sebanyak 130,000 ketua isi rumah ini kerana kemungkinan jumlahnya akan bertambah. 

“Secara keseluruhannya, saya yakin dan percaya usaha yang dilakukan kerajaan akan berhasil dan menokhtahkan kemiskinan tegar serta memastikan kelompok rakyat termiskin tanpa mengira latar belakang kaum dapat segera dibantu sekali gus keluar keluar daripada belenggu kemiskinan” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai pendekatan dan kemajuan pelaksanaan kerajaan perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan secara holistik. 

Mengulas lanjut, Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan sudah membangunkan Sistem e-Kasih sebagai pangkalan data kemiskinan nasional di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang bertujuan mendaftarkan golongan miskin berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). 

Katanya, sistem itu menjadi rujukan kepada semua agensi kerajaan yang terbabit dalam program pembasmian kemiskinan dengan mengakses data atau maklumat kemiskinan yang sama di peringkat persekutuan mahupun negeri. 

ANWAR IBRAHIM

Beliau berkata, dengan data dapat menoktahkan kemiskinan melalui program yang diselaraskan menerusi dua pendekatan iaitu meningkatkan pendapatan rakyat miskin dengan IPR serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR). 

“Bagi IPR, sebanyak RM750 juta diperuntukkan dibawah tiga inisiatif diperkenalkan iaitu Inisiatif Usahawan Tani, Inisiatif Usahawan Makanan dan Inisiatif Operator Perkhidmatan.

“Selain itu sebanyak 400,000 bantuan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat  kepada mereka yang mudah terjejas, subsidi, bantuan serta insentif sebanyak RM64 billion serta pelaksanaan konsep Payung Rahmah,” katanya. 

Di samping itu, Anwar memaklumkan kerajaan akan meneruskan bantuan berdasarkan keperluan kepada kumpulan sasar iaitu STR yang diberikan kepada hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

“Pembayaran Fasa 1 STR dilaksanakan pada 17 Januari lalu membabitkan 8.7 juta penerima dengan jumlah bantuan sebanyak RM1.67 bilion, manakala bagi Fasa 2 STR, ia akan dilaksanakan pada 5 April ini iaitu di pertengahan bulan Ramadan.

“Setakat 28 Mac 2023, hampir 574,886 permohonan baharu diterima dan mereka yang ingin membuat permohonan boleh dibuat sehingga 31 Mac ini,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya