Wanita perlu berani rebut peluang disedia kerajaan

Wanita perlu berani rebut peluang disedia kerajaan

ASUMA BEEVI MOHD. SALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Golongan wanita perlu mengambil langkah berani untuk merebut segala peruntukan dan inisiatif daripada pihak kerajaan untuk membantu mereka meningkatkan kualiti kehidupan masing-masing.

Menurut bekas Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Asuma Beevi Mohd.Sali, Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’ yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini padat dengan inisiatif dan peruntukan komprehensif merangkumi semua sektor ekonomi.

“Pindaan akta melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan adalah usaha baik kerajaan bagi menggalakkan wanita kembali berkerja setelah mengambil cuti rehat daripada kerjaya.

“Program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita dan mengenal pasti wanita yang layak untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah merupakan satu usaha yang baik bagi menyeimbangkan peranan wanita di dalam sesebuah organisasi.

“Dominasi kaum lelaki di peringkat pembuat dasar wajar dikaji semula agar ia diberikan mengikut merit,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Wanita hari ini.

Asuma Beevi yang turut bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Langat berkata, inisiatif penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual adalah langkah awal yang perlu dipuji bagi menjaga kesihatan mental kaum wanita dan kanak-kanak.

Namun pihak kerajaan jelasnya, harus tegas dalam memantau prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaannya bagi memastikan mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

Mengulas mengenai peruntukan dana bagi usahawan wanita, beliau berkata, ia akan membantu kaum wanita untuk mengembangkan perniagaan dan terlibat secara langsung dalam memacu ekonomi negara.

“Walau bagaimanapun, subsidi yuran taska RM180 sebulan dan menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada RM5,000 kepada RM7,000 ringgit serta pembinaan 80 buah taska dan tabika KEMAS termasuk 13 projek baharu hanya disasarkan kepada golongan yang berpendapatan sederhana.

“Pusat penjagaan kanak-kanak yang berasaskan komuniti dan lebih bersasar kepada golongan B40 perlu diberi perhatian serius bagi membantu golongan ini keluar mencari pendapatan,”ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya