PETALING JAYA: Kerajaan disaran mewajibkan agensi kerajaan dan syarikat swasta mengambil pelajar praktikal melalui akta atau peraturan bagi menangani masalah kesukaran pelajar mendapatkan pengalaman dalam industri berdasarkan bidang yang dipelajari.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain menjelaskan, jika pengambilan tersebut diwajibkan, ia secara langsung akan menjadikan sistem praktikal lebih teratur dan profesional sama seperti pengambilan pekerja sepenuh masa.
Katanya, malah pemain industri sendiri akan mengambil serius terhadap pengambilan pelajar praktikal terutama dalam mencari bakal graduan yang berpotensi untuk diserap masuk sebagai pekerja tetap.
“Selama ini, pihak industri yang menetapkan soal pengambilan pelajar praktikal tetapi kebanyakannya masih menganggap ia sekadar satu pilihan. Jika majikan diwajibkan beri penempatan kepada pelajar, pihak industri akan menjadi lebih serius terhadap praktikal.
“Sebab itu, perlu ada akta bagi mewajibkan pengambilan praktikal. Apabila ada undang-undang atau peraturan, ia dapat mewujudkan persekitaran yang stabil dalam industri, malah membantu pelajar menimba pengalaman, mempunyai kemahiran serta bersedia dalam alam pekerjaan,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, katanya, kerajaan boleh menyediakan insentif kepada majikan terutama dalam industri yang kecil dan mempunyai kewangan yang terhad tetapi tetap memberi penempatan kepada pelajar praktikal seperti pelepasan cukai untuk kos elaun.
“Pemberian insentif boleh diberikan kepada industri yang tidak begitu besar dan mereka mungkin hanya mendapat keuntungan kecil tetapi memberikan penempatan kepada pelajar praktikal,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan kira-kira 40,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sukar mendapat tempat untuk praktikal sebagai syarat sebelum menamatkan pengajian mereka.
Ini kerana tiada syarikat yang bersesuaian dengan pengajian mereka, majikan enggan membayar elaun dan menolak untuk menerima siswa bagi tempoh yang pendek, sekali gus menyebabkan berlakunya perebutan ‘tempat’.
Perkara itu sering dihadapi oleh pelajar bidang seperti kaunseling, sains dan teknologi yang jumlah kekosongan untuk menjalani latihan industri kecil serta tempoh latihan ditetapkan IPT yang pendek iaitu sekitar tiga hingga empat bulan yang dikatakan tidak menguntungkan syarikat.
Malah, sekiranya pelajar gagal mendapatkan tempat untuk menjalani latihan industri, penyelaras (wakil pensyarah) bagi setiap kumpulan pelajar akan memasukkan pelajar ke syarikat-syarikat tertentu yang kadangkala tidak menepati bidang dipelajari.
Mohd. Izani mengakui, ada segelintir pelajar IPT yang sememangnya menghadapi kesukaran untuk mendapat tempat bagi menjalani latihan industri namun ia sentiasa dipandang serius oleh pihak universiti bagi menangani isu tersebut dengan lebih efektif.
“Memang ada aduan daripada pelajar yang mengatakan latihan praktikalnya tidak sesuai dengan bidang yang dipelajarinya, ada juga yang buat khidmat pelanggan, ada juga yang disuruh bancuh air, sepatutnya pelajar perlu diberi peranan yang selari dengan bidangnya.
“Pihak universiti akan terus membantu pelajar mendapatkan tempat dalam industri, jadi tidak timbul soal lepas tangan atau berlaku ketidakpadanan namun pelajar sebenarnya digalakkan untuk berusaha mencari tempat sendiri supaya mereka mengetahui apa yang diperlukan dalam bidang dan industri masing-masing,” katanya. – UTUSAN










