KUALA LUMPUR: Usaha mencari jalan perdamaian dan titik persefahaman antara pengarah, Syamsul Yusof dengan isteri pertama, Puteri Sarah di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini, gagal.
Puteri Sarah berkata, dia nekad dengan keputusan muktamad yang sudah dibuat sejak memfailkan permohonan perceraian di mahkamah.
“Saya memang tak nak berjumpa dan berdamai dengan dia (Syamsul). Keputusan saya sejak dulu lagi memang nak bercerai. Cukuplah, saya dah penat. Saya minta dilepaskan.
“Saya sudah penat melayan benda ini bertahun-tahun. Proses selepas ini ikutkan ada sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, April ini.
“Apa yang saya cakap hari ini akan dibawa ke mahkamah. Kalau dia tak nak juga (lafaz cerai), saya akan gunakan hakam,” katanya ketika ditemui di pekarangan pejabat Jawi di sini hari ini.
Puteri Sarah ditemani adiknya, manakala Syamsul membawa sepupunya semasa
proses rundingan melibatkan Jawatankuasa Pendamai, sebentar tadi.
7 Mac lalu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.
Syamsul pula sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Sarah.