JOHOR BAHRU: Parti Progresif Penduduk (PPP) berhasrat untuk bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah logo Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Dr. Loga Bala Mohan tidak menyatakan secara spesifik kerusi yang mahu ditandingi oleh parti berkenaan sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan berhubung perkara berkenaan.
“Kami berhasrat untuk bertanding dua kerusi pada PRN Johor ini dan hasrat tersebut telah disuarakan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam. Kami tidak meletakkan tekanan kepada beliau, sekiranya ia tidak dapat dituntut, kami tak akan berkecil hati, tak akan merajuk.
“Hasrat kami sebagai salah satu parti komponen adalah untuk memenangkan calon BN di setiap kerusi yang ditandingi pada PRN Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PPP Kali-6 di Hotel Amari, di sini hari ini.
Pada 18 Januari lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, PPP sah diiktiraf menjadi salah sebuah parti komponen dalam BN.
Menurut Loga Bala, pihaknya telah menggerakkan jentera di peringkat akar umbi sejak tiga bulan lalu bagi membantu meningkatkan keyakinan pengundi untuk memberi sokongan kepada BN.
“Selain PRN Johor, kita juga berhasrat untuk bertanding dua kerusi di PRN Negeri Sembilan. Bagaimanapun, perkara ini belum disuarakan kepada Pengerusi BN negeri itu,” katanya. – UTUSAN










