PETALING JAYA : Polis memulakan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan.
Siasatan berkenaan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah menerima laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu, yang dibuat Pemuda Amanah Nasional dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam.
“Kes berkenaan akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu IPD Sentul, di sini. semalam.
Laporan polis itu dibuat oleh Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminol Huda dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Izuan Kasim, berhubung kenyataan Abdul Hadi yang mengakui terdapat usaha dijalankan PN dan parti blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Isnin lalu, Abdul Hadi ketika ditemubual di Parlimen berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN menumbangkan kerajaan berdasarkan sistem demokrasi diamalkan megara ini dan ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya ataupun Surat Akuan Berkanun (SD).
Ahli Parlimen Marang itu juga mempertahankan beliau tidak melangkaui titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan sebuah kerajaan stabil dan mengekalkan kerajaan pimpinan Anwar hingga habis penggal, kerana ia bukan sesuatu yang ‘mengikat’ dan menghalang perubahan.
Justeru, beliau mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan Persekutuan ditadbir Anwar akan ‘tumbang dalam masa terdekat’ selain berhak merancang aktiviti untuk menjatuhkan kerajaan.
“Dan kita melihat ada tanda-tanda menunjukkan di dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hati sesama parti komponen dia sendiri. Itu ada berlaku, sebab itu sesuatu yang tidak mustahil berlaku (kerajaan tumbang).
“Memang kita berhak merancang (tumbangkan kerajaan), tiada siapa yang boleh menghalang,” katanya.
Kelmarin Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan tentang rompakan kuasa.
“Ini baru 100 hari, sudah ada tanda-tanda dan bibit mereka ingin mengucar-kacirkan kerajaan hari ini. Bagi saya ini satu tindakan yang menunjukkan PN langsung tiada niat untuk melihat negara dan rakyat lebih sejahtera,” ujarnya.
Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan, Kerajaan Perpaduan pada hari ini masih kukuh dan kuat serta pemimpin tertinggi setiap parti gabungan menunjukkan keyakinan serta kerjasama baik untuk menjayakan agenda kerajaan. – UTUSAN









