Tubuh cawangan parti politik mesti bantu intelektual siswa - Utusan Malaysia

Tubuh cawangan parti politik mesti bantu intelektual siswa

Parti politik
IBRAHIM SHAH ABU SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cadangan menubuhkan cawangan parti-parti politik di dalam kampus universiti awam atau swasta wajar dilihat dari sudut pembangunan intelektual dan pembentukan kepimpinan mahasiswa.

Ini kerana, perkara tersebut dilihat amat sensitif dikhuatiri dan kesannya kepada mahasiswa akan bertentangan dengan matlamat kemasukan ke universiti untuk menimba ilmu dan membina kemahiran dalam sesuatu bidang.

Bekas Ahli Dewan Negara, Prof. Emeritus, Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, cetusan cadangan tersebut menandakan kemajuan kerajaan, mahasiswa dan masyarakat, namun tindakan membenarkan penubuhan itu tidak boleh dilakukan dengan drastik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak bantah benarkan budak terlibat politik, tetapi tidak sampai wujudkan pejabat politik, belum masanya lagi. Lebih baik lakukan secara berfasa-fasa, itu nasihat saya. Biar kita perhatikan dahulu. Kerajaan pun sudah benarkan siswa terlibat dalam parti politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan selain menjejaskan akademik, kewujudan cawangan parti politik dalam kampus juga dibimbangi merosakkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa serta hubungan antara mereka dengan pegawai universiti.

Menurut, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, penglibatan mahasiswa dalam politik bukan perkara baharu malah sebelum penggubalan undang-undang berkaitan termasuk Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) mereka boleh terlibat dengan aktivitinya.

“Bukan tidak benarkan langsung mahasiswa menyertai aktiviti politik, tetapi melihat matlamat penglibatannya, adakah akan memberi manfaat kepada mahasiswa atau akhirnya nanti keciciran dalam akademik?

“Tetapi, yang paling saya bimbang adalah perpaduan, keadaan itu tidak akan mewujudkan perpaduan terutama dalam kalangan mahasiswa Melayu. Malah, keharmonian antara mahasiswa pun mungkin akan terjejas kerana berpecah, hilang. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri, tengoklah berapa banyak parti politik,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sidang Parlimen memaklumkan parti politik mungkin boleh menubuhkan cawangan di kampus memandangkan pelbagai pindaan dilakukan terhadap AUKU 1971.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tersebut memandangkan pelbagai pindaan dilakukan meliputi aspek kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan lain-lain termasuk kebebasan kepada pelajar untuk menyertai parti politik di dalam atau luar kampus serta bertanding dalam pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini