Tragedi Lahad Datu bukti jasa pasukan keselamatan

Tragedi Lahad Datu bukti jasa pasukan keselamatan

Anwar Ibrahim mengesat air mata ketika menyaksikan pantomin Ops Daulat sempena peringatan 10 tahun insiden pencerobohan Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah di Pulapol, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persembahan yang menyentuh hati oleh sekumpulan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai peristiwa hitam Lahad Datu pada 2013 membuktikan pengorbanan pasukan keselamatan yang sanggup berkorban nyawa dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Tragedi pencerobohan yang berlaku 10 tahun lalu itu dilakonkan semula dalam bentuk pantomim oleh 80 anggota polis, yang kebanyakannya terbabit operasi pengusiran kumpulan penceroboh yang mendakwa pewaris berketurunan ‘Raja Sulu’ dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Lebih menyedihkan, apabila tiga anak kepada Allahyarham Asisten Superintenden, Zulkifli Mamat, pegawai polis yang terkorban dalam tragedi berdarah iaitu Mohd. Akmal Amuruddin, 15; Noor Muhammad Aqil, 11, dan Noor Aqib Syahid, 10, turut membuat kemunculan dalam persembahan itu.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang julung kalinya berkenan berangkat ke istiadat perbarisan turut kelihatan sebak manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menitiskan air mata menyaksikan pantomim itu.

Persembahan selama 30 minit secara penuh bermakna dan beremosi di dataran kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak itu diakhiri melalui deklamasi puisi yang padat dengan mesej pengorbanan nyawa dan tumpahan darah semata-mata memastikan kedaulatan negara terjamin.

Anwar menerusi hantaran di Twitternya semalam berkata, beliau menghargai jasa dan pe­ngorbanan PDRM dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

Tegas beliau, mana-mana tindakan melampau dan mengganggu-gugat keamanan pastinya akan ditangani sebaik­nya PDRM demi kestabilan semua.

“Saya tidak dapat menahan sebak sewaktu persemba­han pantomim yang mengimbau kenangan tragedi ber­darah pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, 10 tahun lalu.

“Jasa pegawai dan anggota terkorban ketika tragedi detik hitam dalam sejarah negara itu sentiasa terpahat dalam ingatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, rakyat harus bersyukur atas kemakmuran dikecapi hari ini hasil pengorbanan perwira negara yang terdahulu.

Kata beliau, pengorbanan setiap pejuang tanah air terutama anggota pasukan keselamatan, adalah demi memastikan kedaulatan setiap inci bumi Malaysia kekal terpelihara.

Beliau menjelaskan, setiap titisan darah serta jerih perih pahlawan terdahulu adalah untuk keamanan dinikmati rakyat negara ini, dan ia akan sentiasa terus diperjuangkan setiap warga PDRM.

“Banyak episod cabaran dilalui seluruh warga pasukan yang menyaksikan betapa utuhnya institusi kepolisan yang telah lahir sejak 25 Mac 1807.

“Patik dan warga pacal-pacal (pegawai dan anggota PDRM) sekalian memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan setiap rakyat dan kedaulatan negara akan terus terpelihara.

“Patik dan warga pacal-pacal sekalian juga pasak tekad untuk melaksanakan tugas secara profesional demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam ucapan sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN