KUALA TERENGGANU: Ramadan kali ini tidak semeriah dulu bagi tiga beradik yang amat rindu setelah kehilangan ibu bapa mereka, Ahmad Arsad Mamat, 51, dan Rozita Mamat, 41, yang terkorban dalam kemalangan di Kampung Merchang, Marang dekat sini pada 20 Januari lalu.
Anak sulung daripada tiga beradik itu, Nur Ain Fitriyah, 17, berkata, hanya gambar, video dan kenangan indah yang pernah terukir bersama sebelum ini menjadi pengubat kerinduan untuk mereka.
Menurutnya, adik kedua, Muhammad Adami Najmudden, 13, masih trauma dengan kehilangan tersebut apatah lagi dia menerima rawatan di hospital selama 39 hari akibat kecederaan parah yang dialami.
“Adik bongsu, Muhammad Adzli Abid Muayyad yang berusia tujuh tahun pula sering menyatakan rasa rindunya terhadap ibu dan ayah kerana dia yang paling manja.
“Kenangan yang paling saya rindukan ketika ini ialah suasana ketika pergi menunaikan solat tarawih bersama-sama di masjid dan kesibukan kami ketika membantu ibu menyediakan juadah berbuka puasa serta bersahur.
“Kenangan manis itu tidak dapat diulang kembali dan kami bertiga kini hanya menumpang kasih dengan ibu dan ayah saudara yang tinggal berdekatan untuk bermanja,” katanya.
Nur Ain Fitriyah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu di Kampung Bukit Depu, di sini, semalam.
Dalam kemalangan tragis tersebut, Rozita disahkan maut di lokasi kejadian manakala Ahmad Arshad meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merchang.
Tiga beradik itu pula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana kecederaan parah yang dialami dan tidak berpeluang melihat ibu bapa mereka buat kali terakhir pada majlis pengebumian.
Nur Ain Fitriyah memberitahu, dia yang cedera patah di kedua-dua paha diberikan cuti sakit hingga 16 Mei depan manakala Muhammad Adami Najmudden yang patah di tangan kiri, betis dan paha kiri mendapat cuti sakit hingga pertengahan April.
“Saya dan Muhammad Adami kini terpaksa memakai lampin pakai buang dan hanya berada di atas katil kerana pergerakan yang terbatas manakala Muhammad Adzli Abid Muayyad sudah mula bersekolah kerana kecederaan yang dialaminya sudah hampir sembuh,” ujarnya
Sementara itu, Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin berkata, ketiga-tiga anak yatim piatu itu kini menjadi anak angkat Perkeso yang akan menerima pelbagai bantuan seperti program Kembali Ke Sekolah, Hari Raya Aidilfitri dan lain-lain keperluan semasa mereka.
“Hari ini kami datang untuk menyerahkan faedah pencen penakat sebanyak RM579.60 sebulan untuk tiga beradik tersebut untuk memastikan kebajikan mereka terjaga,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin membantu tiga beradik itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Tabung Haji milik Nur Ain Fitriyah iaitu 120102000317305. – UTUSAN










