Terima komisen AS$6 juta hasil transaksi dana 1MDB

Terima komisen AS$6 juta hasil transaksi dana 1MDB

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai bank di Singapura mengaku menerima komisen sebanyak AS$6 juta ketika terlibat dalam transaksi pemindahan dana fidusiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitan namun mendakwa telah secara sukarela memulangkannya ketika disiasat berhubung skandal berkenaan.

Menurut saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai yang merupakan bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Singapura, dia membuat rundingan dengan pengurus dana fidusiari bagi mendapatkan wang tambahan itu selepas permohonannya untuk dinaikkan gaji dan bonus ditolak oleh bank berkenaan.

“Terdapat perubahan yang ketara dalam pembayaran ganjaran kepada mereka yang terlibat dengan transaksi-transaksi tersebut seperti pengiraan bonus bagi pegawai bank dan pengurus perhubungan ditentukan menggunakan cara berlainan.

“Mereka mula menerima peratusan daripada hasil yang diperoleh melalui transaksi-transaksi tersebut sehingga ada menerima bonus mencecah jutaan dolar. Apabila itu berlaku, saya dan rakan sekerja yang terlibat dalam melaksanakan transaksi tersebut merasakan kami perlu (menerima) lebih (ganjaran).

“Kami telah berjumpa dengan majikan dan menuntut agar dinaikkan gaji serta diberikan bonus yang lebih namun permintaan itu ditolak. Kami merasakan ia adalah sesuatu yang tidak adil. Jadi kami kemudian dengan bodohnya memutuskan untuk mendapatkan ganjaran itu sendiri. 

“Kami telah berjumpa dengan pengurus dana yang menerima dana fidusiari (1MDB dan syarikat berkaitan) mencecah berbilion dolar dan berbincang mengenai komisen yang patut kami terima. Itu merupakan cara kami mendapatkan ganjaran untuk diri kami,” katanya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam sewaktu sesi pemeriksaan utama.

Bagaimanapun saksi berkenaan berkata, dia telah secara sukarela memulangkan wang ganjaran tersebut kepada pihak berkuasa sewaktu siasatan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berhubung skandal penyelewengan tersebut.

Perkara tersebut turut dimaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia apabila dia disoal siasat mengenai skandal tersebut.

Selain itu, Kevin menyatakan, keterangannya di mahkamah bermula semalam tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Ujarnya, dia tidak ditawarkan apa-apa oleh mana-mana pihak mahupun membuat tawaran kepada pihak berkuasa tempatan sebagai timbal balik atas keterangan yang diberikan.

“Keterangan saya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Saya tidak pernah membuat sebarang tawaran atau ditawarkan apa-apa oleh pihak berkuasa yang terlibat dalam siasatan 1MDB,” katanya.

Kevin berkata demikian dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak, 70, yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya