Tembak isteri: Lans Koperal perlu jalani pemeriksaan mental sebelum didakwa - Utusan Malaysia

Tembak isteri: Lans Koperal perlu jalani pemeriksaan mental sebelum didakwa

TERTUDUH (dua dari kanan) yang merupakan seorang anggota polis di bawa masuk ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan membunuh isterinya dalam kejadian pada 5 Mac lalu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal untuk menjalani pemeriksaan mental sebelum didakwa atas pertuduhan menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, pada awal Mac lalu.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membuat keputusan itu dengan tertuduh, Mohammad Nizarman Hassim, 27, perlu menjalani penilaian pemeriksaan di hospital mental selama satu bulan.

Permohonan bagi perintah itu dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan negeri, Mohd Nordin Ismail.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju berwarna merah dan tidak diwakili peguam dilihat beberapa kali mengesatkan air mata sewaktu pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Tertuduh juga didengar meminta kebenaran untuk menziarahi pusara isterinya sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh.

“Saya ada satu permohonan, saya nak ziarah kubur bini (isteri) saya,” katanya selepas majistret mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental.

Di samping itu, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 April depan bagi sebutan semula kes tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa, tertuduh telah melakukan kesalahan itu pada 5 Mac lalu antara pukul 6.45 pagi sehingga 8.50 pagi di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan apabila bertindak membunuh isterinya, Safsufarnisya Salleh, 27, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai penahanan seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang dipercayai menembak isterinya dengan melepaskan lebih daripada lima das tembakan pada jarak dekat di bahagian muka menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku selepas suspek yang berasal dari Setiu, Terengganu itu baharu sahaja tamat syif tugasannya dan dia secara tiba-tiba mengeluarkan pistolnya jenis Walther P99 lalu menembak isterinya.

Suspek juga dikatakan tidak menunjukkan sebarang masalah atau perlakuan pelik selain sempat minum bersama isterinya di dapur sebelum kejadian itu.

Susulan itu, suspek telah direman bermula pada 6 Mac sehingga 17 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya