PETALING JAYA: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan, beliau telah menghubungi pihak polis berhubung dakwaan ahli perniagaan, Albert Tei yang mendakwanya terlibat dalam ugutan.
Azam berkata, beliau mengalu-alukan siasatan berhubung perkara itu dan akan memberi kerjasama penuh kepada polis.
“Saya juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Peguam saya sedang menyediakan dokumentasi berhubung tindakan ini,” katanya di sini hari ini.
Pada masa sama, Azam menggesa polis turut menyiasat Albert berhubung kenyataan serta dakwaan palsu yang dibuat secara terbuka terhadapnya.
Azam berkata, dakwaan dibuat Albert disifatkan sebagai tuduhan tidak berasas dan laporan polis yang dibuat ahli perniagaan terhadapnya juga adalah palsu.
Jelasnya, beliau tidak pernah mempunyai sebarang urusan secara langsung dengan ahli perniagaan terbabit.
“Saya tidak tahu apa yang lelaki ini dakwa. Saya tidak pernah bercakap dengannya secara langsung. Saya juga tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam yang mewakili saya untuk berurusan dengannya secara terus,” katanya.
Dalam pada itu, Azam turut mempersoalkan motif di sebalik tuduhan berkenaan.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan akan memanggil Azam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Albert pada 13 Mei lalu.
Siasatan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Sebelum ini, Albert mendakwa, Azam mengugut, menghalang dan menganiayanya ketika beliau cuba mendedahkan skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah tahun lalu. – UTUSAN










