KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi menyediakan inisiatif kepada pelajar untuk menikmati tambang kapal terbang yang lebih murah termasuk ke Sabah dan Sarawak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Malaysia Airlines Berhad (MAB) ketika ini menyediakan program MHexplorer yang menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus daripada harga tambang penerbangan.
Ahli Parlimen Seremban daripada DAP itu berkata, pelajar yang terlibat antara lain layak menikmati manfaat seperti elaun bagasi tambahan sebanyak 10 kilogram dan potongan harga kepada keluarga dan rakan-rakan pelajar.
“Memang kita tahu banyak syarikat penerbangan lain yang telah beroperasi dan selepas ini saya juga akan berjumpa dengan pihak MyAirline.
“Sementara itu untuk inisiatif penerbangan lain, kita (kerajaan) cuba bincang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang bertanya jika kementerian akan memperkenal pakej penerbangan pada harga berpatutan kepada pelajar Sabah dan Sarawak bagi mengatasi masalah tambang penerbangan semasa cuti semester.
Beliau juga meminta penjelasan kementerian untuk mempertimbang membuka laluan baharu dari Pulau Pinang atau Johor ke Sandakan bagi mengurangkan kos transit yang didakwa mencecah RM1,400 sehala.
Kata Siew Fook, cadangan pembukaan laluan baharu akan dikemuka kepada syarikat penerbangan yang belum menawarkan laluan tersebut.
“Mungkin Kota Kinabalu ada, tetapi Sandakan kurang. Saya tahu laluan Kuala Lumpur-Sandakan itu dari segi perkhidmatan agak kurang. Kerajaan cuba tambah kapasiti untuk syarikat penerbangan lain,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sedang dalam proses menambah baik Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dan proses itu dijangka dapat diselesaikan pada suku kedua tahun ini.
“Syarikat penerbangan yang membatalkan penerbangan atas faktor di bawah kawalan syarikat penerbangan seperti teknikal atau kapasiti penumpang yang tidak menyebabkan penerbangan tersebut dilewatkan atau dibatalkan tertakluk untuk menawarkan pembayaran ganti dalam masa 30 hari atau perubahan laluan seperti mana yang diperuntukkan di dalam MACPC.
“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan Kod Perlindungan Pengguna, Mavcom dalam proses penambahbaikan MACPC.
“Berdasarkan maklum balas pengguna dan juga pengajaran penting yang berlaku semasa pandemik Covid-19, penambahbaikan termasuk peningkatan perlindungan pengguna dalam kes yang tidak pernah berlaku dalam pandemik ini,” katanya. – UTUSAN










