Sundra Rajoo fail notis pemberhentian saman

Sundra Rajoo fail notis pemberhentian saman

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Profesor Datuk Dr. N. Sundra Rajoo tidak meneruskan samannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan 12 pihak lain berhubung penahanan salah berkaitan kes pecah amanah wang AIAC.

Perkara itu dimuktamadkan selepas Sundra Rajoo memfailkan notis pemberhentian menerusi firma guaman, Tetuan Cheok Ng Lee Law Chambers, pada 8 Mac lalu.

Berdasarkan sistem mahkamah, notis pemberhentian itu menyatakan Sundra Rajoo selaku plaintif memberhentikan sepenuhnya tindakan saman yang difailkan pada 15 Oktober 2021 terhadap defendan tanpa perintah kos dan tanpa kebebasan memfailkan semula tuntutan saman.

Defendan-defendan terdiri daripada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull, SPRM dan Kerajaan Malaysia.

Turut dinamakan sebagai defendan adalah beberapa pegawai SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Khong Hui Li, Mohd. Adrian Zaiman Zainiar, Md. Yusrin Md Yusof, Mohd. Fadhly Mohd. Zamry, T Nesavan, G Sharan Raj, Hasmizzy Md. Hasim, Kamal Baharin Omar dan Mohd. Zaki Mohd. Salleh.

Pada 21 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Tommy dan 12 pihak itu untuk membatalkan saman Sundra Rajoo.

Beliau memutuskan bahawa saman itu bukan kes sesuai dan wajar untuk dibatalkan kerana fakta naratif dalam pernyataan tuntutan melebihi satu halaman.

Defendan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu yang sepatutnya didengar di Mahkamah Rayuan pada 13 Jun ini. 

Sundra Rajoo menerusi penyataan tuntutan mendakwa, Mohd. Adrian dan Md. Yusrin atas arahan Mohamad Shukri serta Tommy, menahannya secara salah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada November 2018 dan perkara itu bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sundra Rajoo mendakwa Mohd. Adrian dan Md. Yusrin menahannya walaupun diberitahu beliau ada keistimewaan dan kekebalan seperti yang diberikan kepada seseorang ejen diplomatik berkenaan dengan tindakan dan perkara yang dilaksanakan dalam kapasitinya sebagai pegawai tinggi.

Susulan itu, Sundra Rajoo mendakwa ditahan reman serta disingkirkan daripada jawatannya sebagai Pengarah AIAC dan akibat penahanan itu, beliau diejek manakala reputasinya turut terjejas.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,749,557.26, ganti rugi teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya