SPRM bongkar penyelewengan sukuk bernilai RM596 juta

SPRM bongkar penyelewengan sukuk bernilai RM596 juta

SPRM menahan reman tiga individu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan sukuk bernilai RM596 juta di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Susulan itu, tiga daripada empat suspek tersebut direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman pihak SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Manakala seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Menurut sumber, suspek-suspek berkenaan merupakan Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga buah syarikat yang terlibat secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

Kata sumber berkenaan, sukuk tersebut diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan dan hasil projek tersebut perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan.

“Walau bagaimanapun, akaun khas ini kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022 disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk.

“Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun. Sukuk ini dijangkakan mencapai tempoh matang pada Mei 2023,” katanya.

Sumber itu memberitahu, tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya