SPRM akan panggil beberapa lagi pemimpin Bersatu - Utusan Malaysia

SPRM akan panggil beberapa lagi pemimpin Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membantu siasatan berhubung siasatan dana lebih RM300 juta yang disyaki diterima parti itu.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kete­rangan itu diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dana itu selepas tempoh reman Bendahari Agung parti itu, Datuk Moha­med Salleh Bajuri tamat semalam.

“Ada lagi akan dipanggil bagi lengkapkan siasatan,” katanya.

Jelasnya, keterangan le­bih 20 individu terdiri daripada kontraktor dan pemimpin Bersatu diambil SPRM bagi memperincikan aliran kewa­ngan membabitkan dana RM300 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima parti itu.

“Setakat ini, tidak dipastikan sama ada pemimpin parti lain akan dipanggil SPRM, ia bergantung kepada siasatan,” jelasnya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, kertas siasatan membabitkan akaun Bersatu sudah berada di fasa terakhir untuk dilengkapkan dengan cadangan pertuduhan terhadap individu tertentu.

Sumber mendedahkan tidak menolak kemungkinan cada­ngan pertuduhan berkenaan dibuat dibawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan atau Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembia­yaan Keganasan 2001 (AMLA), namun bergantung kepada hasil siasatan akhir.

Kata beliau, tumpuan siasatan SPRM kini adalah mengesan jejak wang bernilai lebih RM50 juta yang ‘dibelanjakan’ secara tunai selepas ia dikeluarkan da­ripada akaun berkenaan sebelum disalurkan kepada individu tertentu dan parti lain.

Sumber berkata, rentetan itu, SPRM menahan reman Bendahari Agung parti itu bagi menjelaskan wang yang dibelanjakan.

Dalam pada itu, dua akaun berkenaan adalah sebahagian daripada siasatan yang dilakukan SPRM, jadi ia masih dibekukan.

Pada 23 Februari lalu, Utusan Malaysia mendedahkan SPRM meneliti jejak wang RM50 juta sama ada digunakan Bersatu semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau kemungkinan masuk ‘ke poket sendiri’.

Siasatan SPRM mendapati ada pihak yang ‘membelanjakan’ jumlah tertentu dana itu.

Pada 3 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima Bersatu dipercayai dibelanjakan semasa PRN dan PRU15.

Siasatan SPRM berhubung perkara itu difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan termasuk kemungkinan diberikan kepada pemimpin parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai kegunaan lain.

Sebahagian daripada dana RM300 juta itu dipercayai dimasukkan oleh syarikat atau kontraktor ke dalam akaun Bersatu ketika tempoh pemerintahan PN.
Pada 2 Februari lalu, SPRM membekukan akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta bagi siasatan penyelewengan dana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN