Sindiket sampah haram berleluasa?

Sindiket sampah haram berleluasa?

NOTIS amaran dipamerkan di lokasi tapak sampah haram namun permasalahan itu umpama tiada noktah dan masih berterusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Lambakan sampah sehingga melimpah dari tong di lokasi pembuangan sisa pepejal itu termasuk di kampung-kampung dan tepi jalan didakwa berpunca daripada tindakan sindiket haram yang menerima upah mengutip sampah di kedai atau kilang perindustrian sebelum membuangnya di situ.

Mengenakan caj sekitar RM300 sehingga RM500 sebulan, sindiket terbabit dikatakan bertindak meninggalkan sampah-sarap yang dikutip mereka di lokasi tapak pembuangan sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat antaranya melibatkan isu pencemaran bau.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan ini mendapati, tong sampah penuh sehingga melimpah keluar sekali gus menyebabkan pencemaran bau dan mengundang pemandangan kurang menyenangkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, penduduk hairan melihat keadaan sampah yang penuh sedangkan jumlah sampah yang dibuang masyarakat setempat di tapak berkenaan tidak sebanyak itu.

Sindiket terbabit didakwa melakukan kerja-kerja pembuangan sampah sesuka hati itu sekitar awal pagi bagi mengelak tindakan mereka dikesan penduduk atau pihak berkuasa.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim berkata, sindiket itu lazimnya menawarkan kepada pemilik kedai makan atau kilang bagi mengutip sampah-sarap di luar kawasan seliaan agensi bertanggungjawab demi mengaut keuntungan dengan cara mudah.

“Kebanyakan kontraktor daripada sindiket ini tiada lesen, sebab itu mereka tidak dibenarkan membuang sampah di tapak pelupusan sedia ada seperti di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Rimba Mas di sini.

“Mereka mengambil langkah mudah membuang sampah berkenaan di lokasi pembuangan yang dikhaskan untuk penduduk setempat sekali gus menyebabkan tapak pembuangan sampah cepat penuh,” katanya.

Menurut Izizam, walaupun ada lokasi tapak sampah itu diletakkan kamera litar tertutup (CCTV), pihak terlibat seolah-olah tidak mengendahkan amaran itu dan tetap meneruskan kegiatan berkenaan.

“Hasil maklumat mendapati ada juga antara kontraktor yang tidak berlesen ini datang dari luar Perlis bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi berkata, terdapat beberapa kediaman di kawasan kampung sekitar negeri ini masih tiada geran dan tidak membayar cukai taksiran bagi membolehkan kutipan sampah dilaksanakan oleh operator dilantik.

Katanya, perkara itu menyebabkan sindiket ini mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan kutipan sampah berkenaan yang akhirnya dibuang secara sesuka hati oleh pihak terlibat.

“Syarat dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah kedai-kedai komersial dan rumah persendirian perlu uruskan sampah mereka sendiri dan disebabkan itulah sindiket ini masih berpeluang meraih keuntungan dengan menyasarkan pihak terlibat,” katanya.

Beliau berharap agar penduduk setempat dapat membantu menyelesaikan isu tersebut dengan menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan pembuangan sampah haram berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×