Siasatan semula kes kematian Teoh Beng Hock atas arahan AGC

Siasatan semula kes kematian Teoh Beng Hock atas arahan AGC

SAIFUDDIN NASUTION
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan semula yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kes kematian Teoh Beng Hock, 14 tahun lalu seperti mana dikehendaki oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tugas dan fungsi polis adalah menyiasat sebarang kes yang dilaporkan termasuk membuat siasatan kembali terhadap apa-apa yang dikehendaki oleh Peguam Negara.

Beliau berkata, tanggungjawab itu termasuk melakukan siasatan semula ke atas laporan awal kes kematian Beng Hock pada 14 tahun lalu dengan memanggil semua saksi terlibat bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kalau ada arahan daripada AGC sebegitu (membuat siasatan semula), begitu jugalah yang perlu dilaksanakan oleh PDRM.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung arahan daripada AGC ini kerana ia kes lama yang kita semua sudah sedia maklum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-233 dengan tema ‘Reformasi Ke Arah Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan’ di Maktab Penjara Malaysia, dekat sini.

Mengulas lanjut, kata beliau, KDN dan PDRM hanya bertindak atas apa jua syor yang dibawa kembali oleh AGC kerana itu yang paling tepat sekali.

Ditanya bila polis akan memanggil semula semua saksi kes Beng Hock, Saifuddin berkata, dia tidak boleh memberi sebarang tarikh bila kesemuanya akan dipanggil memberi keterangan.

Jelas beliau, semua tindakan atau proses siasatan adalah di bawah bidang kuasa PDRM untuk melaksanakannya.

“AGC telah mengembalikan kertas siasatan awal dan mengesyorkan ia perlu diperkemaskan terutama dalam aspek siasatan. Walaupun kes lama tetapi kerana ada arahan sebegitu, PDRM akan mematuhinya.

“Apa yang pasti, siasatan segera akan dilakukan oleh polis,” jelasnya.

Sementara itu ditanya mengenai terdapat elemen kecuaian dan kelemahan sistem dalam kejadian kesilapan tertukar identiti banduan yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, pada 3 Mac lalu, Saifuddin berkata, KDN mengakui perkara tersebut berlaku.

Ekoran insiden itu, tegas beliau, satu jawatankuasa ditubuhkan dengan segera iaitu dalam tempoh 24 jam.

Jelas beliau, penubuhan jawatankuasa itu jelas membuktikan kesungguhan KDN dan Jabatan Penjara Malaysia menyiasat insiden yang tular tersebut, sekali gus tidak mempunyai niat atau percubaan menyembunyi atau menutup kes tersebut.

“Malah Jabatan Penjara Malaysia juga telah menghubungi keluarga si mati dengan segera dan menjemput mereka ke hospital bagi membuat pengecaman.

“Apabila disedari berlaku kesilapan tertukar identiti mayat tersebut, satu jawatankuasa penyiasat telah ditubuhkan dengan segera dalam tempoh 24 jam.

“Satu perbincangan dengan pihak penjara telah dilakukan bagi menambah baik daripada aspek pengawasan identiti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas berhubung video tular dua lelaki menghina ALLAH dan Nabi Muhammad, Saifuddin berkata, polis telah menerima aduan daripada orang ramai.

Katanya, siasatan telah dilakukan bagi mengenal pasti individu terlibat dan kes tersebut akan diberi keutamaan kerana ia melibatkan isu agama dan sangat tidak sihat untuk ketenteraman awam.

“Video tular menghina ALLAH dan Nabi Muhammad ini telah berada dalam radar dan maklumat PDRM,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya