Senator wanita mungkin ditambah

Senator wanita mungkin ditambah

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bilangan keanggotaan Ahli Dewan Negara dalam kalangan wanita mungkin ditambah memandangkan jumlah penglibatan kumpulan itu dalam politik masih rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini kerana peratusan wakil wanita dalam Dewan Rakyat telah menurun daripada 14.9 peratus pada 2021 kepada 13.5 peratus pada 2022.

Malah beliau turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah yang masih pada kadar 29 peratus setakat 31 Disember lalu.

“Kita hadapi sekarang di sektor swasta, sektor kerajaan ada kemajuan dengan jumlah penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan gred utama C ke atas adalah 38.8 peratus.

“Saya mahu semua GLC ambil perhatian, semua pelantikan baharu di GLC dan peluang-peluang kenaikan pangkat, saya mahu satu perubahan, tentunya beransur-ansur, mempunyai kelayakan, tapi mesti ada peranan nyata dalam meningkatkan peranan wanita,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Dalam pada itu, Anwar menegur sikap suami yang masih berkira-kira untuk memberi sumbangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada isteri.

“Saya harap terutama suami dalam kalangan penjawat awam, pimpinan politik kita akan senaraikan siapa yang enggan.

“Saya rasa kita harus meminta ketua jabatan dan GLC untuk memastikan majikan beri sumbangan,” katanya.

Jelasnya, sebagai menghargai sumbangan isteri, kerajaan memperkenalkan i-Sayang, iaitu satu inisiatif yang membolehkan suami untuk memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja secara sukarela ke akaun isteri.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, meskipun kerajaan telah banyak melaksanakan agenda dan dasar bagi mengangkat serta memperkasa wanita, namun ia belum mencukupi.

Katanya lagi, tidak cukup sekadar hanga pengiktirafan tetapi masih berlaku gangguan seksual dalam kalangan wanita.

“Saya singgung sedikit agak aneh dalam negara membangun, ada orang masih mempertikai peranan wanita. 

“Masih ada fahaman dan aliran sama ada memandang remeh dan meggunakan hujah seolah-olah kemajuan harus dikekang, ada mengatakan urusan wanita patut berada dii rumah tangga sahaja,” katanya.

Sebaliknya tegas Anwar, peranan wanita khususnya dalam sejarah Islam amat dititikberatkan apabila golongan itu memberi peranan besar dalam peristiwa Hijrah. –utusan

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN