PETALING JAYA: Sekian lama menanti, kumpulan Alpha, bakal mengadakan konsert sulung pertama iaitu The First Wave Concert yang dijadualkan berlangsung pada bulan September ini.
Mewakili kumpulan itu, Araff berkata, mereka langsung tidak mengetahui tentang perancangan tersebut dan tidak diberikan sebarang bayangan awal oleh pihak pengurusan sebelum pengumuman rasmi dibuat semalam.
“Tidak ada. Kami pun langsung tidak tahu mengenai perkara ini. Sebab itu, kami sangat terkejut apabila pengumuman dibuat.
“Apabila pihak pengurusan menunjukkan perancangan konsert pertama ini, kami sedar ini adalah momen yang sudah lama dinantikan. Kami sangat terkejut dan seronok tetapi apa yang boleh saya katakan ialah kami semua memang sudah bersedia,” katanya.
Alpha berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui dalam sidang media perasmian The First Wave Album, semalam.
Mengulas lanjut, Alpha menjelaskan bahawa memiliki album dan mengadakan konsert solo merupakan impian terbesar bagi penyanyi berkumpulan ini.
“Sebagai artis berkumpulan, sudah tentu impian utama kami adalah untuk menghasilkan album sendiri dan memperdengarkan bakat serta karya kami.
”Apabila sudah ada album, mestilah kami akan mengharapkan sebuah konsert pula selepas itu..
“Kami memang selalu diberikan kejutan oleh pihak pengurusan dan situasi yang sama berlaku sewaktu pengumuman album dahulu.
”Ketika itu kami menyangka mahu dimarahi dalam mesyuarat, tetapi, rupa-rupanya mereka mengumumkan tentang album sulung kami, Alpha debut album (The First Wave),” katanya.
Dalam pada itu, menurut Araff, pengalaman berkongsi pentas dengan Hael Husaini sebelum ini nyata memberi semangat kepada mereka untuk mengemudi konsert sendiri dengan lebih yakin.
“Kami memang tidak sabar dan auranya sudah mula kami rasakan sejak membuat kemunculan di pentas Big Stage serta berpeluang berkongsi pentas dengan Hael Husaini dalam Konsert Hael Husaini and Repertoire. Alhamdulillah, kali ini Allah beri rezeki untuk kami rasa pengalaman buat konsert sendiri pula.
“Sebelum ini kami selalu pergi menonton konsert orang lain sahaja dan pernah berbincang sesama sendiri bila giliran kami akan tiba.
“Hari ini kami sudah dapat jawapan itu, jadi semestinya kami akan bersiap sedia dan lalui banyak latihan untuk berikan yang terbaik kepada semua,” katanya.
Sementara itu, mengenai album pertama mereka, The First Wave terbitan Rocketfuel Entertainment, ia akan memuatkan 12 lagu, termasuk lagu hits Mona Lisa (Bang Bang), P. Ramlee dan Saloma, Bujang, Tiada Pengganti dan Gelato serta karya baharu seperti Mahkota Cinta, Gerak, Roman Empire dan Dia.
Menariknya, pelancaran album penuh ini diraikan serentak dengan sambutan ulang tahun pertama penubuhan kumpulan M-pop tersebut.
Album ini turut memuatkan lagu Burn It Down yang dirakamkan sewaktu mereka menjalani latihan intensif di Korea Selatan dan akan menjadi tarikan utama untuk konsert September nanti.










