PETALING JAYA: ‘Tiada kem Presiden, tiada pasukan mana-mana, semua team UMNO’.
Demikian tegas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Rafii bagi menjawab dakwaan mengatakan kem tertentu menguasai senarai keputusan Pemilihan UMNO 2023 berlangsung kelmarin.
Jelasnya, keputusan pemilihan sama ada di peringkat MT dan tiga pergerakan sayap menyaksikan lebih 160,000 perwakilan menilai terlebih dahulu kesetiaan calon-calon diketengahkan sebelum mereka memangkah pemimpin yang memenuhi kriteria tersebut.
Kata beliau, dakwaan mengatakan kem tertentu menguasai pemilihan hanyalah sekadar cakap-cakap pihak luar, sedangkan perwakilan khususnya ahli UMNO sendiri yang berhak menilai kemampuan calon terlibat.
“Kalau kita lihat senarai yang menang, semua merupakan pemimpin yang sanggup berkorban dan setia kepada parti sepanjang masa. Misalnya Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah sendiri pernah meletak jawatan menteri kerana mengikut arahan parti, begitu dengan saya pernah letak jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC),” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Pemilihan UMNO 2023 berlangsung Sabtu lalu menyaksikan banyak muka baharu mengisi jawatan Naib Presiden dan MT dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani merupakan dua nama baharu Naib Presiden UMNO.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin menjelaskan, keputusan pemilihan UMNO memperlihatkan proses rekonsiliasi atau perdamaian sedang berlaku dalam parti itu sejurus selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang memperlihatkan mereka mahu relevan khususnya setelah bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.
Katanya, terserah kepada pemimpin yang dipilih untuk mencorakkan masa depan UMNO agar parti itu terus memperoleh sokongan rakyat khususnya dalam mendepani pilihan raya akan datang.
“Hakikatnya ahli UMNO yang menentukan pemimpin mereka, bukannya orang luar meskipun banyak cakap-cakap orang ini, orang itu kem tertentu. Tetapi ahli UMNO sendiri memahami apakah berlaku di peringkat dalaman.
“Malah calon yang menang bukan sembarangan orang, mereka mempunyai pengalaman dan banyak memperjuangkan hak-hak orang Melayu-Islam, sebab itu menerima sokongan penuh perwakilan dalam pemilihan UMNO,” katanya. – UTUSAN










