Seksa monyet: Pagi dilapor, petang kena serbu - Utusan Malaysia

Seksa monyet: Pagi dilapor, petang kena serbu

Polis
MOHD. IQBAL IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan kejam seorang pengguna aplikasi media sosial menyiksa seekor anak monyet sehingga mati berbalas apabila rumahnya diserbu polis pada pukul 3.30 petang, 20 Januari lalu.

Insiden berkenaan dirakam dan ditularkan pengguna terbabit sebelum polis menerima aduan daripada orang awam berhubung kejadian kejam itu pada sebelah pagi kira-kira pukul 11.25.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan polis membawa kepada serbuan di sebuah unit kediaman yang beralamat di kawasan Setia Alam, Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan ke atas penghuni kediaman tersebut seorang lelaki warga tempatan, polis turut menemukan beberapa perkakas dan peralatan serta sebuah telefon bimbit yang mengandungi gambar anak monyet yang didera.

“Suspek dalam kes ini telah dirakam percakapan dan rampasan telefon suspek telah dibuat. Tiada sebarang tangkapan dibuat memandangkan kes ini tidak lazim ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Perundangan Negeri pada 2 Februari lalu dan dimajukan ke Jabatan Peguam Negara pada 22 Februari untuk kajian.

“Arahan daripada Jabatan Peguam Negara pada 23 Februari  adalah supaya siasatan diteruskan untuk mendapatkan laporan hasil analisa daripada pihak forensik bagi telefon bimbit milik suspek yang dirampas,” jelasnya.

Dalam kenyataan sama, Mohd. Iqbal memberitahu, individu berkenaan didakwa melakukan perbuatan penderaan dengan cara memukul, dicacatkan anggota badan serta dibakar bahagian kaki dan tangannya.

Justeru, seramai empat orang saksi dipanggil untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM 20,000.00 dan tidak lebih daripada RM 100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun. 

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Anis Shafika Muhamad Adilah di talian 011-10951310. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya