KUALA LUMPUR: “Saya tidak pukul dan curang.”
Itu penegasan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung tiga rakaman video pertelingkahan membabitkan beliau dan isterinya yang tular di media sosial sejak semalam.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, apa yang berlaku hanya perselisihan faham antara dirinya dan isteri berkaitan masalah rumah tangganya.
Dalam hal itu, kata beliau, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk menjalankan siasatan.
“Ini adalah hal rumah tangga saya. Jadi saya mempunyai prinsip tidak akan aibkan sesiapa termasuklah mana-mana orang iaitu isteri saya.
“Saya lebih selesa perkara yang berlaku ini mengikut proses undang-undang dan di mahkamah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengulas lanjut, Musa berkata, isu berkaitan masalah rumah tangganya itu akan diserahkan kepada peguamnya untuk di bawa ke Mahkamah Syariah.
“Saya ada sebab-sebab tertentu untuk meneruskan masalah saya dan isteri ke mahkamah syariah. Jadi biar pihak mahkamah yang uruskan.
“Selain itu, saya juga telah membuat laporan polis berhubung apa yang terjadi, jadi biar pihak polis menjalankan siasatan dan tidak perlu saya beri penerangan kepada pihak media apa yang berlaku,” jelasnya.
Sementara itu, Musa mengesahkan, pihak polis juga telah mengambil keterangan beliau sehari selepas kejadian itu berlaku.
“Kejadian perselisihan faham itu berlaku pada 28 Februari lalu dan saya tidak tahu mengapa video berkenaan ditularkan.
“Pada 1 Mac lalu (keesokannya) peguam saya telah mewakili saya buat laporan polis memandangkan saya mengalami kecederaan akibat pertengkaran yang berlaku,” ujarnya.
Dalam pada itu Musa menegaskan, tindakan tegas akan diambil pihaknya terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan spekulasi yang bukan-bukan mengenai kejadian tersebut.
“Saya tidak teragak-agak ambil tindakan kepada mereka kerana ia sama sekali menjatuhkan maruah saya.
“Saya tidak mahu cakap lebih-lebih sebab lebih elok ia didedahkan di dalam mahkamah nanti,” ujarnya.
Ditanya status dirinya dan wanita di dalam video tular itu, Musa memberitahu, mereka masih suami isteri namun pengaduan akan dibuat pihaknya kepada mahkamah syariah mengenai kelakuan wanita itu terhadapnya.
“Kami telah berkahwin 11 tahun sejak 2013. Soal nafkah saya tidak pernah culas malah lebih daripada cukup saya beri dan sediakan.
“Cuma, sejak tiga tahun kebelakangan ini, rumah tangga kami sedikit goyah dan dia (isteri) pun tinggal berasingan dengan saya sejak enam bulan lalu,” katanya. – UTUSAN










