‘Saya kena dibedah segera, besi pada kaki terkeluar’ - Utusan Malaysia

‘Saya kena dibedah segera, besi pada kaki terkeluar’

MARIAM Md. Isa menunjukkan keadaan kaki Putri Nur Damia Danisha Abdullah yang perlu dibedah dengan segera namun tertangguh kerana masalah kewangan ketika ditemui di Taman Aman, Alor Setar. – UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tujuh kali terjatuh dan 29 kali mengalami patah tulang mengakibatkan Putri Nur Damia Danisha Abdullah, 14, bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda.

Di sebalik kudrat yang terhad, remaja yang menghidap kanser tulang rapuh atau ‘osteogenesis imperfecta type III’ sejak lahir itu masih menaruh harapan untuk berjalan semula.

Ia bakal menjadi kenyataan jika remaja yang manja disapa Putri itu menjalani pembedahan tulang yang menelan kos lebih RM48,000 di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Sepatutnya saya dibedah pada 31 Januari lalu tetapi tak cukup wang. Terpaksa tangguhkan dulu. Mak saya (Noor Amiza Badaruddin, 39) meninggal dunia akibat kanser payu dara dua tahun lalu dan meninggalkan saya dan adik lelaki.

“Adik saya yang berusia lima tahun tinggal bersama nenek sebelah arwah ibu,” katanya ketika ditemui di rumah nenek­nya, Mariam Md. Isa, 67, di Taman Aman di sini.

Menurutnya, sehingga kini dia sudah menjalani tujuh kali pembedahan memasukkan besi pada betis, paha dan lutut bagi menyokong tulang.

“Saya tak boleh terjatuh, kalau jatuh memang patah tulang. Selalunya patah pada bahagian kaki. Pembedahan yang saya kena buat ini untuk ganti besi lama dan doktor kata insya-Allah­ selepas ini saya boleh jalan semula,” katanya.

Putri Nur Damia sebelum ini pernah belajar di sekolah biasa namun terpaksa berpindah ke sekolah pendidikan khas apabila menggunakan kerusi roda.

“Kalau ikutkan hati memang nak belajar di sekolah biasa kerana saya cacat anggota bukan ada masalah pembelajaran. Sebab itu saya harap sangat dapat bedah dan berjalan semula,” jelasnya.

Tambahnya, setakat ini dia mempunyai simpanan seba­nyak RM18,000 hasil sumbangan orang ramai yang diusahakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk pembedahan itu.

“Saya memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000 lagi. Doktor kata kena bedah secepat mungkin kerana besi lama di kaki semakin terkeluar.

“Dulu mak kerja kerajaan jadi saya dapat banyak faedah tetapi mak meninggal dunia sebelum saya sempat bedah, jadi semua kos kena sediakan sendiri ,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumba­ngan, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Putri Nur Damia 0210929000160717 atau meng­hubunginya, 016-721 2206. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya