Sasar 159 PBT sedia ekosistem Inisiatif Pendapatan Rakyat

Sasar 159 PBT sedia ekosistem Inisiatif Pendapatan Rakyat

RAFIZI Ramli berucap pada Sesi Libat Urus bersama Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri mengenai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan penglibatan kesemua 159 pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk agensi dan wakil-wakil negeri untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan strategik dalam menyediakan ekosistem Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, hampir 15,000 permohonan diterima sejak inisiatif bagi membantu isi rumah miskin dan B40 itu dilancarkan 10 hari yang lalu.

“Satu kumpulan besar yang boleh menerima manfaat daripada khidmat kumpulan B40 dan miskin tegar ini adalah PBT kerana mereka mempunyai banyak kemudahan awam seperti balai raya, tandas dan taman di seluruh negara yang diusahakan oleh kontraktor yang biasanya menggunakan pekerja asing.

“Sebab itu sesi libat urus hari ini memberi tumpuan kepada dua kumpulan iaitu PBT yang mempunyai pelbagai kemudahan dan wakil kerajaan negeri kerana kita hendak pastikan mereka turut serta terutamanya jika mereka ada tanah-tanah yang boleh dimasukkan ke dalam program IPR untuk dibuka kepada penerima-penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas sesi libat urus Menteri Ekonomi bersama ketua-ketua jabatan peringkat negeri mengenai IPR di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Rafizi turut berharap lebih banyak agensi-agensi kerajaan yang lain dapat menyertai IPR sekali gus menambah jumlah kumpulan strategik dalam menjayakan ekosistem tersebut.

“Kami juga akan turun ke negeri-negeri untuk teruskan lagi sesi libat urus seperti ini cuma harapan kita seberapa banyak PBT dan agensi kerajaan yang lain untuk mula turut serta,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tapak contoh pertama bagi program rintis pertanian di bawah IPR dijangka akan dilancarkan kira-kira tiga minggu lagi di Putrajaya membabitkan seramai 20 penerima.

“Sasaran kita ia akan dilancarkan pada minggu pertama April, memang penat untuk siapkan sebab kita kena bersihkan tapak, infrastruktur, letak rak dan sistem fertigasi,” ujarnya.

Media pada 26 Februari lalu melaporkan, bagi membantu isi rumah miskin dan B40, kerajaan melancarkan IPR sebagai langkah dalam memastikan mereka keluar daripada ‘kepompong’ kesusahan.

Rafizi berkata, IPR memfokuskan kepada penjanaan pendapatan rakyat berbanding sebelum ini kerajaan memberi kelengkapan perniagaan tetapi tiada kepastian sehingga wujudnya risiko tergelincir kembali ke kategori miskin tegar.

Oleh kerana itu, menurut beliau, kerajaan sudah merangka templat-templat penjanaan pendapatan yang diyakini dapat membantu objektif tersebut dan mampu mewujudkan ekosistem yang baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya