Sanusi tegur sikap pembangkang rendahkan institusi sultan

Sanusi tegur sikap pembangkang seakan-akan rendahkan institusi sultan

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor secara terbuka menegur Asmirul Anuar Aris (PH-Kubang Rotan) kerana didakwa membuat tuduhan seolah-olah titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, semalam disediakan kerajaan negeri.

Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ketika membawa usul ucapan menjunjung kasih berkata, tindakan sedemikian seolah-olah merendahkan institusi sultan.

“Sebelum membawa usul ini, saya ingin memberi ingatan kepada ahli Yang Berhormat untuk menjaga tutur kata berkaitan titah sultan dizahirkan di dewan ini, semalam. Walau kita bercakap di media sosial, janganlah kita buat tuduhan seolah-olah titah dizahirkan Tuanku itu disediakan kerajaan negeri kerana tindakan sedemikian merendahkan institusi sultan.

“Saya tengok di TikTok semalam, Kubang Rotan (Asmirul) ada menyebut perkara tersebut,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keenam DUN Kedah yang ke-14, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau membangkitkan perkara itu kerana baru-baru ini berlaku perbahasan panas di Parlimen setelah terdapat bekas menteri yang menyebut kononnya titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disediakan kerajaan.

“Tetapi kali ini perkara itu diulang lagi di peringkat DUN Kedah. Saya zahirkan rasa kecewa atas sifat kurang cermat Kubang Rotan dalam TikTok semalam dan minta beringat lain kali,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memohon maaf di Dewan Rakyat berhubung dakwaannya bahawa titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 disediakan Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Asmirul ketika ditemui menyifatkan Muhammad Sanusi bersifat ‘melebih-lebih’ setelah tersalah faham mengenai maksud yang hendak disampaikan dalam siaran langsung TikTok tersebut dan menegaskan beliau bersama ADUN pembangkang lain amat menjunjung titah disampaikan Sultan Kedah.

“Yang saya pertikai bukan titah Tuanku tetapi ‘input’ disampaikan Menteri Besar untuk dimasukkan ke dalam titah baginda. Dalam siaran langsung TikTok itu, kami cakap mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan saya pertikaikan input yang diberikan Muhammad Sanusi berkaitan perkara itu.

“Mana-mana kerajaan pun biasanya akan beri ‘input’ kepada titah Tuanku dan kami yakin, Sultan Kedah amat bijaksana untuk menilai input diberikan itu betul atau salah. Saya tak pertikai titah baginda tetapi lebih kepada menghentam Menteri Besar kerana kadang-kadang apa yang disaran untuk dimasukkan ke dalam draf titah baginda itu tak betul.

“Saya fikir tak ada sebab untuk minta maaf kerana kami menjunjung titah baginda. Saya tak fikir ada melakukan sebarang kesalahan sebaliknya beliau (Muhammad Sanusi) yang melebih-lebih,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN