Pekerja mahir Kedah belum cukup

Pekerja mahir Kedah belum cukup

SIDANG Dewan Undangan Negeri Kedah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bilangan tenaga kerja mahir untuk mengisi keperluan dalam bidang teknikal di Kedah masih belum mencukupi terutamanya dengan kehadiran jumlah pelaburan tinggi di negeri itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pengajian Tinggi Kedah, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail, unjuran mendapati sebanyak 24,000 tenaga kerja mahir diperlukan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) sehingga 2025.

Justeru katanya, anak-anak Kedah perlu terus didorong untuk mendalami bidang sains terutamanya sains tulen agar mereka dapat mengisi jawatan tersebut di peringkat pertengahan dan atasan.

“Kita berdepan cabaran amat besar kerana anak-anak di sekolah tak suka buat (pelajari) Sains terutamanya Sains Tulen dalam keadaan kita perlukan ramai jurutera melibatkan pelbagai bidang.

“Sejak sekolah rendah kita perlu galakkan anak-anak suka Sains kerana kalau nak jadi negara maju dan berteknologi tinggi tiada pilihan selain galakkan mereka terlibat dalam kejuruteraan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Pejuang-Jitra) yang bertanyakan mengenai perancangan kerajaan negeri dalam memastikan bekalan tenaga kerja di Kedah mencukupi untuk industri berteknologi tinggi.

Terdahulu, Ku Abd. Rahman memaklumkan, data diperolehi setakat ini menunjukkan peluang kerja hasil pelaburan yang masuk ke negeri ini memang kebanyakannya diisi oleh anak-anak Kedah.

“Untuk 2020, sebanyak 86.1 peratus daripada 7,813 peluang kerja diisi oleh anak Kedah manakala pada 2021 pula, sebanyak 91.7 peratus daripada 11,303 peluang kerja diisi mereka dan bagi tahun lalu pula, 90 peratus anak Kedah mengisi 3,158 kekosongan kerja setakat Januari hingga September,” katanya.

Tambahnya, syarikat-syarikat dari luar negara yang melabur di Kedah juga ketika ini dilihat sememangnya memberi peluang kepada anak negeri untuk bekerja termasuk di KHTP.

“Di KHTP, 82 peratus pekerja di situ merupakan anak Kedah. Syarikat-syarikat di tempat lain juga melakukan perkara sama antaranya syarikat Minebea di Sungai Petani yang mencatatkan 82 peratus pekerja terdiri daripada anak Kedah.

“Cuma ketika ini kita nak lihat lebih ramai anak Kedah pegang jawatan pertengahan dan atas. Sebab jawatan itu biasanya diisi oleh golongan ekspatriat dan kita harap anak-anak Kedah dapat mengisi bidang itu terdiri daripada jurutera yang pakar dalam pelbagai bidang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya