Rancang perluas Program Wakaf Solar hingga ke 200 masjid

Rancang perluas Program Wakaf Solar hingga ke 200 masjid

GUNTOR Tobeng (kiri) menyerahkan gambar pemasangan sistem tenaga solar di Masjid Al-Islah, Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal, Pulau Pinang kepada Wan Salim Wan Mohd. Noor sebagai simbolik sambil diperhatikan oleh Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Prihatin dengan peningkatan kos elektrik yang tinggi di masjid-masjid setiap bulan, syarikat pengendali ladang solar terkemuka negara, Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana) tampil dengan inisiatif memperkenal Program Wakaf Solar.

Pengarah Urusan syarikat itu, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, menerusi program berkenaan, ia turut memberi kesempatan kepada mereka yang berkemampuan melabur dalam saham akhirat dengan membiayai kos pemasangan solar tersebut.

“Hasilnya, ia memberikan situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak terlibat.

“Bagi pihak pengurusan masjid, ia dapat menjimatkan kos operasi mereka manakala para pewakaf solar pula mendapat ganjaran pahala,” katanya kepada Utusan Malaysia di Masjid Al-Islah, Permatang Tok Mahat, di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian program itu yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Yang hadir sama Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan pengerusi kariah masjid berkenaan, Abdul Razak Ahmad.

Turut diadakan sempena program itu adalah penyampaian sumbangan kepada 10 asnaf terpilih di kawasan terbabit.

Difahamkan, kos pemasangan tenaga solar itu berjumlah RM48,000 dan masjid tersebut adalah masjid pertama di negeri ini yang memasang sistem tenaga solar menggunakan kaedah wakaf sedemikian.

Mengulas lanjut, Guntor berharap Program Solar Wakaf itu dapat dilaksanakan di masjid-masjid dan surau-surau lain di seluruh Pulau Pinang selepas ini.

Ketika ini, beliau berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan MAINPP berhubung cadangan tersebut dan mendapat maklum balas yang baik.

“Kalau diluluskan, ia mungkin boleh dilaksanakan sebelum hujung tahun ini juga,” katanya yang berhasrat memperluas penggunaan tenaga solar itu hingga ke 200 daripada keseluruhan 350 masjid di negeri ini.

Dalam pada itu, Abdul Razak memberitahu, pemasangan tenaga solar di Masjid Al-Islah dibuat sejak September tahun lepas dan dalam tempoh enam bulan, pihak pengurusan masjid membuat penjimatan secara purata sehingga melebihi RM500 sebulan.

“Alhamdulillah, rata-rata ahli kariah masjid ini juga gembira dan berterima kasih kepada pihak Gading Kencana atas iniasiatif penjimatan ini.

“Insya-Allah, wang (lebihan) yang kita gunakan untuk membayar bil elektrik itu boleh kita gunakan untuk tujuan lain yang memberi manfaat kepada seluruh ahli kariah di sini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya