PYDC tingkat kualiti pendidikan, buka peluang generasi muda Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PYDC tingkat kualiti pendidikan, buka peluang generasi muda Pulau Pinang

SOON Lip Chee (tiga dari kanan) bersama sebahagian wakil institusi pendidikan dan agensi yang menandatangani MoU terbaharu bersama PYDC di Butterworth Arena, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Sebanyak 37 memorandum persefahaman (MoU) yang menyasarkan kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan membuka peluang kepada generasi muda ditandatangani oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, MoU itu melibatkan pelbagai universiti serta agensi sama ada dari dalam dan luar negara.

“Kerajaan negeri melalui PYDC komited dalam mempromosikan pembelajaran berkualiti khususnya untuk generasi muda di Pulau Pinang.

“Ini (pembelajaran berkualiti) bukan sahaja dari segi akademik, tapi termasuk pembangunan kendiri serta peluang jaringan sosial yang membolehkan generasi muda mencapai kemajuan di sekolah-sekolah atau tempat kerja.

“Justeru, jalinan kerjasama yang dibuat hasil pemeteraian MoU ini dilihat memberi peluang kepada anak-anak muda untuk bersaing di peringkat lebih tinggi selain membantu mereka berfikir, bekerja dan bertindak secara global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU terbaharu antara PYDC bersama tujuh institusi pendidikan dan sebuah agensi kerajaan sempena pameran pendidikan di Butterworth Arena, di sini baru-baru ini.

Institusi pendidikan yang terlibat adalah Sun Moon University dari Korea Selatan; Blue Pillar Academy; ViTrox Academy; Forward School; Sense Perfect International College (SPIC) dan Penang International Dental College.

Selain institusi terbabit, turut menandatangani MoU yang sama ialah Perbadanan Produktiviti Malaysia (PDC).

Difahamkan, MoU itu menyediakan rangka kerja yang lebih menyeluruh terhadap pembangunan pelbagai program termasuk melibatkan komuniti, kesukarelawanan, pendidikan, pekerjaan, pemindahan kemahiran serta teknologi dan sebagainya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling memberitahu, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan lebih banyak institusi atau agensi berkaitan secara berterusan pada masa depan.

“Saya percaya melalui kerjasama berterusan seperti ini, PYDC boleh mencipta pelbagai program baharu dan menarik lebih ramai generasi muda untuk turut-serta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya