KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak menolak kemungkinan untuk menyertai medan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri, tahun ini.
Penasihatnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Putra sedang mengkaji sama ada akan mengambil bahagian atau tidak.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, keputusan akhir akan dibuat dalam masa terdekat.
“Kita akan bergerak sebagai sekumpulan orang Melayu, asasnya kita guna Putra sebagai parti yang di daftar.

“Kita punya perjuangan untuk orang Melayu, bukan untuk parti lagi. Kita utamakan masalah orang Melayu sebab kami dapati, sekarang ni orang Melayu menghadapi banyak masalah dan tidak ada mana-mana pihak berjuang untuk mereka,” katanya semasa sidang media, di ibu pejabat Putra, di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, bekas Perdana Menteri itu menyertai dan menyifatkan Putra kerana beliau memerlukan sebuah platform untuk terus memperjuangkan kaum Melayu.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut menolak kemungkinan menyertai PRN tetapi sebaliknya akan memberi sokongan penuh dan akan berkempen untuk Putra.
Sementara itu, Mahathir turut menepis alasan kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah berpunca daripada faktor umur, di mana pengundi mahu beliau berehat.
“Konon orang Langkawi kesian, ingin saya berehat. Terima kasihlah kerana kesian pada saya tetapi Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) muda lagi kalah jugak dan banyak lagi calon-calon kita kalah juga.
“Ini bukan pasal umur, tak perlu cakap macam tu, bukan sayang kepada saya. Nak bagi saya kalah,” katanya. –utusan










