MEXICO CITY: Mexico dan Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu merasmikan sebuah kilang yang akan menghasilkan lalat steril bagi membasmi sejenis parasit ternakan yang boleh menyebabkan kematian lembu.
Lalat steril itu digunakan untuk memutuskan kitaran pembiakan lalat New World screwworm (NWS), iaitu spesies yang larvanya menyerang tisu haiwan ternakan.
Kilang bernilai AS$61 juta (RM249.3 juta) itu dirasmikan oleh Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dan Setiausaha Pertanian AS, Brooke Rollins.
Kedua-dua negara bekerjasama membina kemudahan itu dalam tempoh kurang setahun di negeri Chiapas, selatan Mexico.
Apabila beroperasi pada kapasiti penuh, kilang itu dijangka menghasilkan 10 juta lalat steril setiap minggu. Sebuah kilang serupa kini beroperasi di Panama.
Mexico mengesan kes pertama lalat NWS di Chiapas pada 2024.
AS pula berjaya menghapuskan parasit itu pada 1966, namun satu wabak dilaporkan berlaku di Florida pada 2016 yang kebanyakannya menjejaskan populasi rusa.
AS sebelum ini berjaya membasmi parasit berkenaan menggunakan kaedah yang sama, iaitu melepaskan berjuta-juta lalat steril untuk mengawan dengan lalat betina liar, sekali gus menghalang pembiakan.
Awal bulan ini, Jabatan Pertanian AS memaklumkan satu kes baharu dikesan di Texas.
Musim panas tahun lalu, AS mengharamkan perdagangan ternakan dengan Mexico selepas terdapat laporan bahawa lembu di negara itu didapati dijangkiti parasit berkenaan.
Lalat NWS bertelur pada luka terbuka atau membran mukus haiwan berdarah panas. Telur itu kemudian menetas menjadi larva yang memakan tisu hidup haiwan.
Jika tidak dirawat, jangkitan itu boleh membawa maut dan parasit berkenaan mampu merebak dengan cepat.-AFP










