'Puteri Sarah, ayuh kita bincang'

‘Puteri Sarah, ayuh kita bincang’

KUALA LUMPUR: Pengarah sensasi, Syamsul Yusof berharap tiada lagi cerita fitnah yang dijaja oleh isteri pertamanya, Puteri Sarah seperti dakwaan pernah dipukul pada 2020.

Sekalipun Puteri Sarah membenci dirinya, Syamsul mahu masing-masing menjaga aib, maruah dan kehormatan rumah tangga yang dibina sejak 2014.

“Ini bukan pesta saling buka aib masing-masing. Kalau tak suka saya, kenapa sampai tahap perlu fitnah saya memukulnya?

“Jangan buat cerita tidak benar walaupun benci saya sekalipun. Cerita di sebalik memukul itu pun ada kisahnya dan kalau boleh saya tidak mahu ulas perkara itu lebih panjang.

“Apa yang sudah berlaku itu sudah lah. Saya boleh maafkan dia. Kalau ada ruang untuk berbaik, ayuh kita berbincang,” katanya.

Dalam pada itu, Syamsul juga enggan mengulas lanjut sama ada dia mempunyai bukti kukuh selepas memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya, Selasa lalu.

“Saya tak mahu main ‘game’ fitnah di sini. Saya enggan bercakap benda yang tidak sepatutnya di sini.

“Saya sendiri pun malu nak bercakap mengenai perkara itu kerana ia membabitkan aib rumah tangga. Jadi apapun tunggu proses perbicaraan nanti,” katanya.

Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan pasangan itu, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, proses itu gagal mencari jalan penyelesaian apabila Puteri Sarah tetap dengan keputusan untuk bercerai.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, 16 Januari lalu.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN