Proses tender projek tebatan banjir disegerakan - PM - Utusan Malaysia

Proses tender projek tebatan banjir disegerakan – PM

ANWAR Ibrahim melepaskan pasukan sukarelawan penjawat awam pasca banjir ke Johor di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan,Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican untuk menyegerakan proses tender bagi projek tebatan banjir.

Beliau berkata, ia sebagai usaha jangka panjang untuk mengurangkan tekanan menghadapi bencana alam itu untuk tahun-tahun akan datang.

“Langkah-langkah segera lain seperti membeli water jet telah dilakukan untuk membantu usaha pasca banjir.

“Kita percaya usaha ini memberi makna cukup besar kepada rakyat di bawah yang menghadapi tekanan,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan pasukan sukarelawan penjawat awam pasca banjir ke Johor di sini hari ini.

Menurut Anwar, bantuan sukarelawan penjawat awam ini sebagai sokongan kepada keluarga dan jabatan kerajaan di Johor yang tidak mampu mengendalikan pasca bencana tanpa usaha tambahan.

Jelas beliau, sokongan bantuan penjawat awam ini adalh khidmat secara sukarela melebihi tugas hakiki mereka.

“Pasca banjir juga mencabar, jadi tidak mampu keluarga dan jabatan sedia ada di Segamat atau Batu Pahat melainkan ada usaha tambahan.

“Khidmat ini bukan tugas hakiki, ini tugas tambahan, sukarelawan, tugas yang tidak kenal penat lelah.

“Ini satu permulaaan yang baik sebelum Ramadan dan merupakan ibadah yang kita sempurnakan dengan baik, saya doakan moga perjalanan berjalan lancar dalam tempoh dua hari ini,” katanya.

Seramai 1,520 penjawat awam terlibat dalam Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) itu dari seluruh negara mewakili semua kementerian atau jabatan dan agensi kerajaan dengan tumpuan bantuan sukarelawan pasca banjir yang dikhususkan ke kawasan-kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pula berperanan dalam mengatur usaha mobilisasi pegawai perkhidmatan awam serta menyelaras pembahagian kawasan terjejas banjir kepada pihak kementerian bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan.

Usaha pada kali ini adalah lebih tertumpu dan bersasar kepada aspek pembersihan fasiliti perubatan, fasiliti pendidikan, bangunan-bangunan Kerajaan serta tempat- tempat awam.

Antara bentuk bantuan yang dikenal pasti adalah tenaga kerja pembersihan, sumbangan bakul makanan, alatan pembersihan dan kelengkapan asas persekolahan, penyelenggaraan kenderaan kecil, baik pulih peralatan elektrik kecil termasuk kerja-kerja pendawaian berskala kecil serta khidmat sokongan psikologi dan
kaunseling.

Sebanyak 153 buah kenderaan yang terdiri daripada 26 buah bas/ coaster, 16 buah van, lapan buah lori, 64 buah kenderaan pacuan empat roda dan 39 buah kereta
digerakkan dalam operasi bantuan kali ini.

Kerajaan melalui Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri pada 17 Mac lalu memutuskan supaya PSPA ini digerakkan semula bagi pengurusan pasca
banjir di kawasan- kawasan yang terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya