Aduan pembelian minyak masak peket oleh warga asing turun mendadak

Aduan pembelian minyak masak peket oleh warga asing turun mendadak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Aduan orang ramai berhubung pembelian minyak masak peket oleh warga asing dilaporkan menurun dengan ketara selepas penguatkuasaan larangan tersebut dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Mac lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, trend penurunan itu menunjukkan keberkesanan langkah penguatkuasaan yang diperkenalkan kerajaan.

Katanya, setakat ini hanya tiga kes direkodkan melibatkan pelanggaran peraturan tersebut di seluruh negara yang mana dua daripada kes itu berlaku di Kedah, manakala satu lagi dikesan di Selangor.

“Perkembangan positif itu menunjukkan tahap pematuhan yang baik dalam kalangan pihak berkaitan termasuk peruncit.

“Penguatkuasaan larangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan subsidi minyak masak peket hanya dinikmati rakyat tempatan.

“Langkah itu juga bertujuan mengelakkan ketirisan subsidi yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna tempatan bagi memastikan kesinambungan bekalan dan hak subsidi rakyat terus terpelihara,” katanya dalam sidang akhbar pencapaian Op Tiris di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Azman menegaskan KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan berterusan.

Katanya, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat juga penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras sebarang pelanggaran peraturan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN