Program Jom Ziarah Gereja sah batal - Utusan Malaysia

Program Jom Ziarah Gereja sah batal

Gereja
LENGANG, keadaan di pekarangan Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Program Jom Ziarah Gereja di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes di sini, hari ini sah dibatalkan susulan penetapan dan arahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan gereja itu lengang tanpa sebarang kehadiran peserta program terutama belia beragama Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir berkata, agensi di bawah KBS itu akur sepenuhnya dengan arahan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Program itu sah dibatalkan susulan penggulungan Menteri di Parlimen, baru-baru ini. Tiada sesiapa menghadirinya termasuk belia Islam dan penganjuran program seumpama ini diserahkan kepada Kementerian Perpaduan Negara,” katanya ketika dihubungi.

Tinjauan mendapati wakil daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor turut menjalankan pemantauan di gereja tersebut.

Kelmarin akhbar ini melaporkan penganjuran program bagi memujuk atau mempengaruhi umat Islam cenderung kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali di Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menegaskan, perkara itu merupakan kesalahan mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Kerajaan Selangor turut melarang sama sekali penganjuran sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadah agama lain di negeri ini dan perlu mengikuti garis panduan ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Terdahulu, Hannah di Parlimen menyatakan bahawa program Jom Ziarah telah ditukar dan dihadkan hanya kepada belia bukan Islam.

Isu itu timbul susulan penyebaran iklan dan risalah mengenai ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’ anjuran Impact Malaysia yang terbuka kepada belia bagi mengetahui lebih lanjut pelbagai agama lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya