Selangor larang  'Projek Artikel 11 Jom Ziarah'  - MAIS - Utusan Malaysia

Selangor larang  ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’  – MAIS

MAIS meminta semua pihak menjaga sensitiviti agama Islam yang diiktiraf sebagai agama rasmi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penganjuran program bagi memujuk atau mempengaruhi umat Islam untuk cenderung kepada agama lain dilarang di Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, perkara itu adalah kesalahan mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

“Kita berpendirian bahawa persefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat amat penting dalam memastikan keharmonian serta keamanan.

“Justeru, mana-mana penganjur sama ada sektor awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan lain yang berhasrat mengadakan aktiviti dan program atas dasar perpaduan dan keharmonian dinasihatkan berhati-hati dan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas penyebaran iklan dan risalah di media sosial dan elektronik mengenai ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’ yang dianjurkan sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan(KBS), Impact Malaysia.

Menerusi iklan tersebut, program itu terbuka kepada belia yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai agama. Program itu dijadual turut akan  =diadakan di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang esok.

Kata Abdul Aziz, penelitian MAIS mendapati program itu mempunyai unsur bagi menarik minat belia khususnya Islam mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain Islam.

“Jika dibenarkan penganjurannya, ia mempengaruhi pemikiran secara halus dan tanpa disedari cenderung dengan agama selain Islam yang sedang dianuti mereka.

“Walaupun objektif program itu memberi pendedahan tentang sesuatu agama dan menjalin perpaduan dalam kalangan penganut pelbagai agama, ia memerlukan kepada kawalan dan sekatan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan terbaru Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen bahawa program itu telah ditukar dan dihadkan hanya kepada belia bukan Islam.

“Namun, semakan MAIS setakat ini mendapati risalah dan iklan yang  diedarkan tidak dipinda bagi menunjukkan program itu khas untuk orang bukan Islam.

 “Justeru, MAIS menyeru semua masyarakat menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya