Potensi Melaka jadi Jelapang Padi Selatan

Potensi Melaka jadi Jelapang Padi Selatan

PANDANGAN panorama sawah padi di Kampung Janda Berhias, Jasin, Melaka. UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sektor penanaman padi dan pengeluaran beras di Melaka mempunyai potensi besar untuk dimajukan meskipun jumlah kawasan penanamannya kecil iaitu hanya 1,731 hektar berbanding negeri-negeri pengeluar utama seperti Kedah dan Selangor.

Di Selatan Semenanjung, Melaka berada di kedudukan kedua selepas Johor dengan keluasan kawasan penanaman padi sekitar 2,254 hektar, diikuti Negeri Sembilan kira-kira 1,000 hektar.

Bagaimanapun, statistik pengeluaran padi menunjukkan Melaka mengeluarkan hasil tertinggi pada 2022 iaitu sebanyak 6,958 tan metrik berbanding Johor dengan 6,255 tan metrik.

Seandainya masalah sumber air terhad yang dihadapi sekian lama oleh para pesawah di daerah Melaka Tengah iaitu kawasan penanaman terbesar di negeri ini dengan keluasan mencecah 1,500 hektar dapat diselesaikan, tidak mustahil Melaka bergelar ‘Jelapang Padi Selatan’.

Jabatan Pertanian Melaka memberitahu Utusan Malaysia, pengeluaran padi tertinggi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini adalah pada 2021 dengan hasil sekitar 7,549 tan metrik.

Katanya, peningkatan ketara mencecah 78 peratus berbanding 4,252 tan metrik pada 2020 itu disokong oleh beberapa faktor, antaranya penggunaan varieti padi baharu yang lebih rintang penyakit serta bersesuaian dengan keadaan sawah di negeri ini.

“Pada 2019 Melaka hanya mencacatkan pengeluaran sekitar 3,750 tan metrik, namun angka itu terus meningkat saban tahun. Jabatan Pertanian memperkenal varieti padi baharu yang lebih bersesuaian dengan keadaan di Melaka.

“Antara yang ditanam adalah jenis MR297, MR264 dan MR220CL2. Kita juga merancang aktiviti pengapuran dan perataan sawah dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi mengoptimumkan prestasi hasil tanaman padi,” katanya ketika dihubungi.

Pada 2021, Utusan Malaysia melaporkan, Melaka berpotensi menjadi negeri jelapang padi ke­dua negara selepas Kedah jika infrastruktur pengairan sawah diberikan perhatian sewajarnya.

Masalah sumber air yang terhad di Melaka Tengah yang mana rata-rata pesawah bergantung harap sepenuhnya pada air hujan mencetuskan pelbagai polemik dari menyemai benih sehinggalah ke menuai hasil.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, masalah pengairan dan saliran yang membelenggu pesawah di Kampung Batang Tiga dan kawasan sekitar, dijangka dapat diatasi menjelang 2025.

Beliau berkata, pembinaan infrastruktur dengan kos sebanyak RM29.4 juta bakal mengatasi isu kekurangan bekalan air.

Menurutnya, projek fasa kedua bermula melalui pengambilan tanah dan bayaran pampasan yang dijangka selesai Julai ini, sebelum kerja-kerja fizikal membina saluran paip dari Sungai Pulau Gadong hingga ke Kampung Batang Tiga bermula pada September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya