Polis masih kesan Zalina, tunggu individu lain tampil beri maklumat - Utusan Malaysia

Polis masih kesan Zalina, tunggu individu lain tampil beri maklumat

Zalina
ZALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis memaklumkan lebih empat kali carian dilakukan dekat banglo milik bekas personaliti sebuah stesen televisyen swasta, Zalina Azman yang kehilangannya gagal dikesan sejak November 2021.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kali terakhir carian dibuat adalah sekitar hujung tahun lalu dengan pelbagai kaedah termasuk bantuan daripada Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan.

“Seingat saya, lebih empat kali pencarian dilakukan oleh polis dekat rumah beliau. Kali terakhir adalah pada hujung tahun lepas. Kita sudah buat carian dengan bantuan forensik, anjing pengesan dan pelbagai kaedah lain.

“Polis pun akan cuba untuk melihat kaedah-kaedah lain. Tetapi jangan risau, jika ada perkembangan positif, baharu nanti saya akan kongsikan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan kes penemuan mayat tanpa identiti di seluruh negara setakat ini didapati tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan bekas pembaca berita, Zalina atau nama sebenarnya Zalina Shaharah Azman, 59.

Menurutnya, polis turut bekerjasama rapat dengan semua kontinjen negeri bagi mengenalpasti identiti mayat individu termasuk penelitian itu melibatkan analisa asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa oleh Jabatan Kimia yang diperoleh polis sebelum ini.

Selain itu, polis turut mengesahkan tiada pergerakan keluar negara dilakukan oleh Zalina berdasarkan maklumat daripada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memaklumkan tiada individu atau saksi terkini yang tampil memberikan sebarang maklumat, setakat ini lebih 20 termasuk ahli keluarga, rakan dan pekerja kontraktor yang terlibat dengan kerja pengubahsuaian banglonya dia Seksyen 3, di sini.

“Saya pun ucapkan terima kasih kepada media dan orang ramai yang membantu mencari dan menguar-uarkan untuk memberi maklumat kepada polis.

“Kita akan maklum perkembangan baharu, setakat ini memang tiada apa-apa lagi yang saya boleh beri. Kita pun masih menunggu (pihak lain tampil memberi maklumat). Rakyat Malaysia pun masih menanti perkembangan baharu,” ujarnya.

Kehilangan Zalina yang dilaporkan anak lelakinya berusia 33 tahun pada 29 November tahun lalu masih kekal menjadi misteri selepas, berita kehilangannya dikongsikan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Dalam laporan berkenaan, Zalina disifatkan berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.

Kali terakhir anak kepada bekas personaliti TV3 itu berhubung dengan ibunya adalah pada Julai tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya