KUALA LUMPUR: Semua agensi penguat kuasa berhak mengambil tindakan undang-undang berdasarkan bidang kuasa masing-masing bagi membanteras jenayah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan apa juga tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti yang memudaratkan masyarakat.
“Kita sentiasa mengalu-alukan apa juga tindakan penguatkuasaan (terhadap pihak) yang menyebabkan kemudaratan dan kesengsaraan kepada masyarakat.
“Jika ia (serbuan) dilakukan SPRM dan Jabatan Imigresen, tentu sahaja kita mengalu-alukan tindakan itu,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Imigresen membanteras kegiatan sindiket penipuan dalam talian baru-baru ini.
Mengulas mengenai timbul dakwaan sindiket penipuan dalam talian yang ditumpaskan dalam serbuan SPRM dan Jabatan Imigresen itu dipercayai dilindungi agensi penguatkuasaan tertentu, Acryl Sani berkata, pihaknya tidak melindungi anggotanya yang terbabit kegiatan sedemikian.
“Jika terdapat pembabitan mana-mana pegawai dan anggota polis dalam apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang, kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
“PDRM sehingga kini konsisten tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit perbuatan menyalahi undang-undang dan perkara itu sudah kita buktikan membabitkan pelbagai kes membabitkan anggota kita,” katanya.
Tambah beliau, semua anggota pengua tkuasa perlu mematuhi integriti dan kedaulatan yang termaktub dalam undang-undang.
Op Tropicana yang dijalankan SPRM pada 21 Februari dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri berjaya melaksanakan 24 serbuan termasuk tiga pusat panggilan atau ‘boiler room’, syarikat serta kediaman ahli sindiket.
Sindiket dipercayai telah menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdaya untuk membuat pelaburan tidak wujud.
Penjenayah penipuan ini dipercayai memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil menipu mangsa-mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang.
Pada 23 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya mengesyaki terdapat nama-nama tertentu yang melindungi sindiket penipuan pelaburan didalangi warga United Kingdom (UK) dalam serbuan Op Tropicana pada 22 Februari lalu.
Katanya, hasil maklumat siasatan yang dijalankan pihaknya percaya ada agensi penguatkuasaan yang disogok. – UTUSAN