Poligami: Ramai suami di Selangor tak gentleman - Utusan Malaysia

Poligami: Ramai suami di Selangor tak gentleman

Poligami
DARI kiri, Pegawai Hal Ehwal Islam Daerah Kuala Selangor, Rosniza Shahidan; Mufti, Datuk Anhar Opir; Mohamad Zakian Dio dan Pemangku Penasihat Undang-Undang MAIS, Norlaili Mohamad dalam Forum Kekeluargaan dan Pencerahan Undang-Undang di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Suami di Selangor yang berhasrat untuk melakukan poligami disifatkan sebagai tidak gentleman apabila tidak mahu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) kerana enggan berdepan dengan reaksi isteri.

Situasi tersebut disokong menerusi statistik dikeluarkan jabatan berkenaan apabila hanya 856 kes diterima permohonannya oleh Mahkamah Syariah untuk berpoligami berbanding 1,617 kes mohon pengesahan pendaftaran poligami.

Statistik tersebut didakwa menunjukkan pasangan bernikah poligami tanpa kebenaran dan bercanggah dengan perundangan sekali ganda lebih banyak berbanding mereka yang memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah.

Pengarah Kanan (Kehakiman), Mohamad Zakian Dio berkata, kebanyakan para suami dilihat tidak sanggup menghadap isteri masing-masing di mahkamah menyebabkan mereka mengambil jalan mudah melakukan pernikahan di tempat lain seperti di Thailand dan Indonesia.

“Begitu pun, antara alasan yang lazim diterima ketika permohonan dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah seperti sudah berkawan lama, takut berlaku maksiat, ada kelebihan dari segi kemampuan untuk membantu wanita.

“Tetapi, sebagai hakim saya tetap bertanya, isteri setuju? Sepanjang pengalaman 26 tahun saya sudah melihat 1,001 reaksi isteri apabila ditanya sedemikian. Isteri kena jawab, sudah tentu isteri marah,” katanya dalam forum bertajuk ‘Poligami Mengikut Sunah atau Mencari Rebah?’, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Yusof menasihatkan masyarakat Islam yang berhasrat untuk berpoligami agar mematuhi undang-undang berkaitan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sedia ada mewajibkan suami untuk berlaku jujur dan berterus terang dengan isteri. 

“Prosedur (poligami) tidak susah. Kalau pergi ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) nyatakan hasrat, isi borang tertentu dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti.

“Tujuan supaya si suami berlaku adil dengan lihat kemampuan fizikal, kesihatan dan kewangan. Kita tidak boleh berkahwin lagi satu, abaikan pada yang tua (isteri pertama),” ujarnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan penutup Forum Kekeluargaan dan Pencerahan Undang-Undang Anjuran MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita itu turut tidak menolak penceraian berlaku disebabkan poligami.

Bagaimanapun, Abdul Aziz menegaskan, poligami tidak boleh menjadi alasan bagi seorang isteri memohon cerai, sebaliknya isteri boleh memohon tebus talak dengan mengemukakannya kepada Mahkamah Syariah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.