PM tiba di Kemboja

PM tiba di Kemboja

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kemboja hari ini bagi lawatan rasmi sehari untuk memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan negara itu sejak 1957.

Menerusi Facebook beliau, Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 9.05 pagi waktu tempatan Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Othsman Hassan selaku Menteri Pengiring mewakili kerajaan Kemboja.

Delegasi Anwar turut disertai Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Semalam, Zambry memaklumkan, Anwar dijangka menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja serta diraikan dalam upacara rasmi sebelum mengadakan sesi pertemuan dengan rakan sejawatnya, Hun Sen.

Mereka berdua dijangka membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama selain meneroka peluang kerjasama baharu dan memperkukuhkan jalinan hubungan sedia ada.

Kemudian, Anwar akan hadir menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman antara kerajaan Malaysia dan Kemboja membabitkan pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja dalam sektor domestik dan formal serta usaha pemerkasaan sektor perburuhan.

Selepas itu, beliau akan berjumpa dua pemimpin Parlimen negara tersebut iaitu Presiden Senat Kemboja, Say Chhum dan juga Presiden Dewan Rakyat Kemboja, Heng Samrin.

Sebelum pulang ke tanah air pada lewat malam tambah beliau, Anwar bakal mengerjakan solat sunat tarawih dengan ahli kariah jemaah tempatan di Masjid Al-Serkal, Phnom Penh.

Kemboja merupakan rakan dagang global ke-58 terbesar Malaysia dan kelapan terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan tahun lalu sahaja mencecah nilai RM3.03 bilion.

Ia mencatatkan peningkatan sebanyak 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan eksport Malaysia menokok 15.3 peratus manakala import pula melonjak 43.5 peratus. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya