PM sembah maklum perkembangan pembangunan kepada Sultan Kedah

PM sembah maklum perkembangan pembangunan kepada Sultan Kedah

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah menerima menghadap Anwar Ibrahim di Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melakukan kunjungan singkat ke negeri ini, semalam menyembah maklum soal pembangunan negara dan negeri Kedah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Perdana Menteri berkata, beliau diterima perkenan menghadap Sultan Sallehuddin di Istana Anak Bukit, di sini.

“Dalam sesi menghadap tersebut, saya menyembah maklum soal pembangunan negara dan negeri Kedah kepada Duli Tuanku,” katanya dalam catatan di Facebook Anwar Ibrahim, sebentar tadi.

Anwar memaklumkan, beliau turut berkesempatan menziarahi makam-makam Sultan Kedah sebelum ini serta pusara bekas Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Makam Diraja Langgar.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan secara terperinci pembangunan yang dimaksudkan Perdana Menteri itu.

Pada Ahad lalu, Sultan Sallehuddin menitahkan Kerajaan Persekutuan menyokong dan memberi pertimbangan wajar kepada cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Titah baginda, sokongan bagi pelaksanaan pembangunan projek KXP itu demi manfaat menyeluruh kepada negara khususnya untuk merancakkan pembangunan ekonomi Kedah dan wilayah utara tanah air.

“Pada 24 Februari, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen. Berdasarkan kepada pembentangan tersebut, cadangan pembangunan KXP yang menjadi salah satu projek berimpak tinggi negeri tidak diberi keutamaan. 

“Beta berpandangan projek KXP wajar diberi pertimbangan,” titah baginda pada Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Sultan Kedah pada masa sama turut mengingatkan agar semua pemimpin di pihak kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berkhidmat secara profesional termasuk fokus terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat.

Baginda turut bertitah agar mereka mengelak daripada berpolitik secara berlebihan sebaliknya sentiasa berusaha menjaga hubungan antara satu sama lain khususnya antara kedua-dua kerajaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.