PM iftar bersama 5,000 masyarakat Islam di Kemboja esok

PM iftar bersama 5,000 masyarakat Islam di Kemboja esok

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berbuka puasa dengan kira-kira 5,000 orang masyarakat Islam di Kemboja ketika lawatan ke negara itu esok.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, pada program iftar yang dihoskan sendiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen itu, Anwar akan menyampaikan sejumlah 1,500 naskhah al-Quran versi bahasa Khmer dan Inggeris sumbangan Malaysia kepada umat Islam Kemboja.

Ini merupakan lawatan julung kali Anwar ke negara itu atas undangan Hun Sen sendiri sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang terjalin sejak 1957 lalu dan membuka kedutaan di ibu kota Phnom Penh pada 1969.

Zambry berkata, Perdana Menteri akan disambut Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Hal Ehwal Islam Kemboja, Datuk Dr. Othsman Hassan sebaik tiba dan menghadap Raja Kemboja, Norodom Sihamoni di Istana Diraja serta diraikan dalam upacara rasmi sebelum mengadakan sesi pertemuan dengan Hun Sen.

Mereka berdua dijangka membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama selain meneroka peluang kerjasama baharu dan memperkukuhkan jalinan hubungan sedia ada.

Kemudian, Anwar akan hadir menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman antara kerajaan Malaysia dan Kemboja membabitkan pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja dalam sektor domestik dan formal serta usaha pemerkasaan sektor perburuhan.

Selepas itu, beliau akan berjumpa dua pemimpin Parlimen negara tersebut iaitu Presiden Senat Kemboja, Say Chhum dan juga Presiden Dewan Rakyat Kemboja, Heng Samrin.

“Seperti kelaziman ketika lawatan di luar negara, Perdana Menteri turut bertemu bersama diaspora Malaysia yang dianggarkan pada ketika ini 5,000 orang di sana,” kata Zambry dalam sidang akhbar hari ini.

Sebelum pulang ke tanah air pada lewat malam tambah beliau, Anwar bakal mengerjakan solat sunat tarawih dengan ahli kariah jemaah tempatan di Masjid Al-Serkal, Phnom Penh.

Kemboja merupakan rakan dagang global ke-58 terbesar Malaysia dan kelapan terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan tahun lalu sahaja mencecah nilai RM3.03 bilion.

Ia mencatatkan peningkatan sebanyak 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan eksport Malaysia menokok 15.3 peratus manakala import pula melonjak 43.5 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya