PH Sabah masih teruskan saman terhadap kerajaan - Utusan Malaysia

PH Sabah masih teruskan saman terhadap kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Status kes saman ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah ber­hubung tuntutan 40 peratus hasil negeri masih diteruskan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pegu­am yang mengetuai saman pemula itu, Nelson W. Angang berkata, kes berkenaan akan disebut semula pada hujung bulan ini di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, namun tidak memberitahu tarikh tepat.

“Setakat ini kes masih lagi di mahkamah, seperti semua tahu Kerajaan Persekutuan masih berbincang mencari penyelesaian bersesuaian mengenai perkara ini, jadi plaintif (PH Sabah) tidak lagi menarik kes ini selagi keputusan belum dicapai, sebab itu ia masih dalam prosi­ding mahkamah.

“Hujung bulan, kita akan lihatlah apa yang berlaku pada statusnya, jika mahkamah kata mahu teruskan atau tidak. Tetapi, memang ketika ini kesemua plaintif tidak mahu menarik kes tersebut.

“Mahkamah beri ruang kepada semua pihak berbincang mencari penyelesaian, kalau tiada, jadi tunggu kes ini diteruskan atau tidak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau ditanya status kes tersebut jika pihak plaintif menarik semula kes memandangkan mereka kini berada di dalam Kerajaan Persekutuan dan ne­geri Sabah.

Pada Jun tahun lalu, PH Sabah memulakan tindakan undang-undang dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kerajaan Sabah sebagai defendan kedua berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri dikutip Kerajaan Persekutuan.

Turut hadir memfailkan saman itu antaranya Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Bene­dick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin (Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan); ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe (Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah).

Semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip Kerajaan Persekutuan selaras Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan kurang wajar dibahas dalam sidang Dewan Rakyat.

Katanya, isu itu kini melibatkan hal perundangan yang te­lah dirujuk kepada mahkamah untuk diputuskan dan membincangkannya lebih lanjut dikhuatiri sebagai subjudis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN