AS 'sorok' kerugian perang Iran?

AS ‘sorok’ kerugian perang Iran?

GAMBAR dikeluarkan Tentera Darat AS menunjukkan Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi M142 (HIMARS) yang menjalankan misi tembakan semasa operasi Epic Fury di lokasi tidak didedahkan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran didakwa menyebabkan kerosakan lebih meluas terhadap pangkalan tentera dan aset Amerika Syarikat (AS) di seluruh Asia Barat berbanding yang dilaporkan secara terbuka.

Menurut laporan NBC News yang memetik sumber, kerosakan akibat serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera AS di tujuh negara Asia Barat adalah ‘jauh lebih teruk daripada yang diakui secara terbuka’ dan dijangka menelan belanja berbilion dolar untuk dibaiki.

Laporan itu berkata, Iran menyerang berpuluh-puluh sasaran, termasuk gudang, pusat arahan, hangar pesawat, sistem komunikasi satelit, landasan, kemudahan radar canggih serta pesawat.

Walaupun AS memiliki sistem pertahanan udara, laporan tersebut turut mendakwa sebuah pesawat Iran jenis F-5 masih berjaya melancarkan serangan, sekali gus mendedahkan kemungkinan kelemahan dalam sistem perlindungan sedia ada.

Skala kerosakan tersebut belum didedahkan sepenuhnya oleh Pentagon, manakala Markas Pusat AS (CENTCOM) enggan mengulas mengenai penilaian kerosakan pertempuran, menurut laporan itu.

Beberapa wakil rakyat Republikan dilaporkan tidak berpuas hati terhadap pegawai kanan Pentagon kerana enggan memberikan maklumat mengenai tahap kerosakan dan anggaran kos pembaikan. 

“Tiada siapa tahu. Kami sudah bertanya selama berminggu-minggu tetapi masih tidak mendapat butiran, walaupun Pentagon meminta bajet tertinggi dalam sejarah,” kata seorang pembantu Kongres.

Laporan itu turut menyatakan kos pembaikan dijangka mencecah berbilion dolar dan berpotensi mencetuskan semua pertikaian di Washington mengenai risiko mengekalkan pangkalan tentera AS berhampiran Iran.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Iran, Jeneral Reza Talaei-Nik mendedahkan sebahagian besar keupayaan peluru berpandu negara itu masih ‘belum digunakan’ dalam perang dengan AS.

“Pasukan kami mengekalkan penguasaan udara sepenuhnya dan sebahagian keupayaan peluru berpandu kami belum digunakan sepanjang perang 40 hari itu,” katanya.

Dalam pertempuran laut, beliau memberitahu agensi berita Tasnim, kapal perang musuh berulang kali berundur dari Laut Oman selepas tindakan tegas pasukan Iran.

BATAL LAWATAN ISLAMABAD

Trump pada Sabtu mengarahkan pegawai kanannya supaya tidak berlepas ke Pakistan untuk meneruskan rundingan dengan pegawai Iran bagi menamatkan perang.

Bercakap kepada wartawan di Florida, beliau memutuskan untuk membatalkan lawatan yang dirancang oleh utusan khasnya, Steve Witkoff dan Jared Kushner kerana rundingan di Islamabad melibatkan perjalanan serta kos terlalu tinggi, selain tawaran damai terbaharu Iran dianggap tidak memuaskan.

Beliau berkata, lawatan Witkoff dan Kushner hanya akan membuang banyak masa, dan mendakwa jika Iran mahu berunding mereka perlu menghubungi pihaknya.

Sebelum menaiki Air Force One untuk pulang ke Washington kelmarin, Trump berkata, Iran menambah baik tawaran bagi menyelesaikan konflik selepas beliau membatalkan lawatan itu, namun menurutnya ia masih belum mencukupi.

Beliau kemudian dalam hantaran di media sosial mendakwa terdapat pertelingkahan besar dan kekeliruan dalam kepimpinan Iran.

“Tiada siapa yang tahu siapa memegang kuasa, termasuk mereka sendiri. Selain itu, kami mempunyai semua kelebihan, mereka tiada apa-apa! Jika mahu berunding, mereka hanya perlu menghubungi,” tulis Trump di Truth Social.

Terdahulu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, meninggalkan Islamabad tanpa sebarang petanda berlaku kemajuan dalam rundingan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, serta pegawai kanan lain.

Usaha diplomatik kini dilaporkan tergendala walaupun Trump melanjutkan gencatan senjata yang sepatutnya tamat pada 22 April bagi membolehkan rundingan diteruskan.

Kedua-dua pihak terus berdepan kebuntuan berhubung Selat Hormuz, dengan Iran mengehadkan laluan di perairan strategik itu susulan serangan yang dilancarkan pada 28 Februari lalu, selain pertikaian berhubung dasar nuklear Teheran.

Walaupun Araghchi menyifatkan lawatan itu sebagai ‘membuahkan hasil’, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memberitahu Shehbaz bahawa Teheran tidak akan menyertai rundingan yang dipaksakan di bawah ancaman atau sekatan.

Beliau turut menggesa Washington menghapuskan langkah yang disifatkan sebagai halangan operasi, termasuk sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Ketegangan di rantau itu kekal memuncak, dengan Israel turut melancarkan semula serangan terhadap sasaran Hizbullah di Lubnan, sekali gus menguji gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa selama tiga minggu.

Washington dan Teheran pula terus berdepan kebuntuan, dengan Iran secara berkesan mengehadkan laluan Selat Hormuz, manakala AS terus mengekalkan sekatan terhadap eksport minyak Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN