Peniaga didenda RM5,000 kerana miliki mercun dan bunga api - Utusan Malaysia

Peniaga didenda RM5,000 kerana miliki mercun dan bunga api

TERTUDUH (dua dari kiri) dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Kangar, di sini, hari ini, bagi menghadapi pertuduhan memiliki mercun dan bunga api tanpa kebenaran. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

KANGAR: Seorang peniaga kedai borong dan ubat-ubatan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki mercun dan bunga api tanpa kebenaran.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor turut memerintahkan Lim Thiam Hock, 55, dipenjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Thiam Hock didakwa memiliki bahan letupan terdiri daripada 36 kotak besar yang mengandungi 1,715 kotak kecil pelbagai jenis mercun dan bunga api jenama Happy Bom di kedainya di Jalan Bukit Lagi, di sini, pada 21 Mac lalu sekitar pukul 5 petang.

Tertuduh juga didapati tiada sebarang dokumen atau permit sah bagi memiliki atau pun menyimpan mercun yang dirampas di kedainya itu.

Oleh demikian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum dijatuhi hukuman, tertuduh menerusi peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali merayu agar tidak dikenakan hukuman berat atas alasan dia masih menanggung persekolahan dua daripada empat orang anaknya di samping perlu membawa ayahnya yang uzur bagi mendapatkan rawatan dialisis.

Di samping itu, tertuduh turut memaklumkan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan memohon agar denda minimum dikenakan.

Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom memohon majistret agar dapat mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepadanya.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `404` and content-type is `text/html; charset=iso-8859-1`