Pengunjung merosot, Medan Samudera suram

Pengunjung merosot, Medan Samudera suram

MOHAMAD Ali menyusun barang jualan di gerainya di Medan Samudera, Bandar Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cuti persekolahan yang rapat dan keutamaan ibu bapa dalam menyediakan ke­perluan anak sebelum penggal baharu bermula antara punca kemerosotan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Medan Samudera, Bandar Hilir di sini mendapati tiada kesesakan kenderaan di sekitar kawasan pelancongan berhampiran selain hujan berterusan menjejaskan kehadiran pe­ngunjung.

Peniaga, Muhammad Asyraf Rahmat, 33, berkata, musim cuti persekolahan kali ini sedikit berbeza kerana kedatangan pe­ngunjung tidak seperti cuti sebelum ini.

Katanya, jualan pakaiannya merosot hampir 50 peratus berbanding musim cuti persekolahan sebelum ini, meskipun terdapat sedikit peningkatan berbanding hari biasa.

“Pengunjung tidak ramai se­perti cuti yang lepas, mungkin disebabkan cuti sekolah yang terlalu rapat serta ibu bapa sedang berjimat untuk menyediakan kelengkapan anak sebelum penggal baharu bermula.

“Selain itu, gaji awal yang diterima semasa sambutan Tahun Baharu Cina lalu menyebabkan orang ramai berfikir dua kali jika hendak pergi bercuti. Pada masa sama, tanggapan Melaka sebuah negeri yang sesak dengan kende­raan ketika musim cuti turut mempengaruhi kedatangan pe­ngunjung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, pembantu gerai, Mohamad Ali, 58, berkata, kehadiran pengunjung ke pusat perniagaan itu masih belum pulih walaupun negara telah beralih ke pasca endemik Covid-19.

Menurutnya, kemeriahan ber­jual beli tidak seperti dahulu kerana pengunjung hanya sekadar singgah tanpa membuat pembelian.

“Keadaan sebelum dan selepas pandemik memang sangat berbeza. Kita boleh lihat kedatangan pengunjung setiap masa. Dulu kedai dibuka pukul 10 pagi hingga lewat malam, tetapi sekarang pukul enam petang sudah tutup kerana tiada pengunjung.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN