KUALA LUMPUR: Pengacara Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) 2022 kelihatan sebak di awal pembukaan persidangan yang bermula hari ini.
Wanita itu dilihat tidak dapat mengawal perasaannya setelah mengenangkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa di mahkamah di sini pagi tadi atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta.
Pengacara itu berjaya mengendalikan pembukaan majlis dengan lancar sebelum doa dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin,76, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menyalahgunakan kedudukan tersebut untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti itu.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Yang turut hadir dalam persidangan hari ini ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.
Persidangan Agung Tahunan Bersatu 2022 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad ini, di Menara PGRM.
Agenda Persidangan Agung Tahunan Bersatu 2022 dimulakan dengan Perhimpunan Agung Srikandi, diikuti Persidangan Agung Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada esok manakala perasmian dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Ahad ini.
Persidangan hari ini cukup kuorum dan dihadiri seramai 450 perwakilan.- utusan











