'Pendakwaan terpilih ke atas saya tindakan politik berniat jahat'

‘Pendakwaan terpilih ke atas saya tindakan politik berniat jahat’

MUHYIDDIN Yassin bercakap pada sidang akhbar selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau akan berdepan tujuh pendakwaan masing-masing di Mahkamah Kuala Lumpur dan Mahkamah Shah Alam.

Perkara itu dimaklumkan Muhyiddin dalam sidang akhbar sejurus keluar dari bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pukul 8.20 malam tadi.

Menurutnya, beliau akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur esok selain turut dituduh di Mahkamah Shah Alam pada Isnin depan.

“Saya akan dituduh membabitkan dua kes iaitu Projek Jana Wibawa dan rayuan pembatalan cukai oleh sebuah yayasan dinaungi hartawan terkemuka negara.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang, malah bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan,” katanya.

Katanya, beliau tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan.

Jelasnya lagi, beliau juga tidak pernah berjumpa dengan kontraktor-kontraktor yang mendapat projek dan tidak pernah menerima wang daripada mereka.

Muhyiddin berkata, beliau juga memaklumkan SPRM tidak menjumpai sebarang bukti bahawa beliau menerima wang.

Menurutnya, tujuan pendakwaan ini adalah untuk memalukan beliau dengan mengheret beliau ke mahkamah esok.

“Pendakwaan terpilih ke atas saya ini adalah satu tindakan politik berniat jahat semata-mata untuk melumpuhkan dan menghancurkan Bersatu dan PN.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan jawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah esok,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Presiden PN, Muhyiddin berkata, beliau akan membuat keputusan selepas pendakwaan di mahkamah.

“Tunggulah, saya belum didakwa, nanti kita akan buat keputusan dan kita akan umumkan,” katanya.

Mengenai kemungkinan rusuhan oleh penyokong beliau susulan pendakwaan itu, Muhyiddin berkata, PN dan Bersatu adalah parti yang aman dan penyokongnya sedar bahawa rusuhan bukan tindakan yang betul ketika rakyat berdepan cabaran ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya